SERAMAI 13 orang pendaki akan menggalas cabaran mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal bermula pada Ahad ini sehingga 13 Mac 2024.
Lima pendaki akan menawan puncak Gunung Island Peak setinggi 6,160 meter atau 20,210 kaki dari aras laut manakala lapan lagi pendaki akan melengkapkan misi ke Everest Base Camp (EBC) setinggi 5,364 meter atau 17,598 kaki dari aras laut.
Berbeza daripada pendakian yang lain, pendakian ke Island Peak selama 18 hari itu merupakan pendakian teknikal di gunung bersalji yang penuh mencabar.
Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Fakhrul Muhir Mohd Isa berkata, pendakian itu memerlukan kekuatan fizikal yang mantap bagi mengharungi cabaran ketika mendaki.
"Kekuatan fizikal terutamanya sihat tubuh badan dan pengalaman diperlukan untuk mendaki gunung setinggi ini.
"Begitu juga dengan kelengkapan serta peralatan khas diperlukan untuk memastikan pendaki sampai ke puncak dan turn (balik) dengan selamat," katanya.
BACA LAGI: Azhan Rani bersedia tawan Gunung Island Peak di Nepal
Program amal itu dianjurkan Summit Attack Resources (SAR) dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan.
Selain lokasi pendakian yang jauh dan kos yang tinggi, antara cabaran lain yang akan ditempuh dalam misi ini ialah suhu yang rendah sehingga mencecah -25 darjah Celsius.
Situasi itu mendedahkan pendaki kepada masalah kekurangan oksigen yang disebabkan oleh faktor ketinggian, sekali gus berdepan risiko mengalami akut gunung atau acute mountain sickness (AMS) dan masalah cuaca seperti ribut salji.
Bagaimanapun, pendaki dijangka mampu berdepan situasi sukar ini kerana mereka berpengalaman dan pernah mendaki sehingga ketinggian lebih 6,000 meter selain Gunung Kalapatthar dan EBC.
Bagi menyuntik semangat para pendaki, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohamad menghadiri Majlis Flaf Off yang diadakan untuk merealisasikan misi Pendakian Amal SAR Asana Ke Island Peak & Everest Base Camp Bersama Azhan Rani 2024.
Beliau turut menyerahkan bendera JBPM kepada Mohd Fakhrul Munir yang akan melakukan latihan di Island Peak untuk ke Gunung Everest dan Gunung K2 di Nepal tidak lama lagi.
Program amal anjuran Summit Attack Resources (SAR) dengan kerjasama Kelab Kembara Kosmopolitan itu adalah cetusan idea pelakon, Azhan Rani.
Selain Azhan Rani, pendakian ke Island Peak akan diketuai Mohd Fakhrul Munir serta pendaki tunggal wanita, Zarina Abd Rahman.
Memiliki objektif yang mulia, pendakian itu dibuat untuk mengutip dana bagi membantu sebuah rumah kebajikan, Persatuan Kebajikan Ahsana Kuala Lumpur di Puchong yang menempatkan orang kelainan upaya (OKU) dan autisme. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram