Enam pendaki sesat termasuk 4 wanita di Gunung Angsi ditemukan selamat


  • 112
  • Rabu, 21 Feb 2024

Kesemua mangsa yang ditemui pasukan keselamatan dalam keadaan selamat di Gunung Angsi, Negeri Sembilan pada Rabu. — JBPM

SERAMAI enam pendaki yang sesat di Gunung Angsi, Ulu Bendul, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dijumpai kira-kira pukul12 tengah malam pada Rabu dan selamat dibawa turun kira-kira 50 minit kemudian.

Penolong Pengarah Bahagian Latihan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Mohd Hafiz Mohd Shariff dilaporkan berkata, seorang pendaki wanita bagaimanapun dikatakan cedera ringan pada kaki kiri.

"Semua mangsa dari Selangor, iaitu empat wanita dan dua lelaki ditemui pada ketinggian 400 meter pada aras laut pada pukul 12.05 tengah malam. Ketika ditemui, mereka berada di laluan yang betul dan tidak sesat.

"Namun, laluan yang dipilih mereka tidak sama dengan jalan naik yang mana ia agak sukar selain keadaan hujan menyebabkan mereka keletihan selain tiada sumber makanan," katanya.

BACA LAGI : Pendaki kongsi pengalaman diusik atau disorok ketika hiking, camping waktu malam, apa persediaannya?

msg1050426791-26013

Kesemua mangsa ketika diselamatkan pasukan keselamatan. — Facebook

BACA LAGI : Pendaki wanita maut ketika hari jadi, sesak nafas lepas 6 hari sertai program daki Gunung Reskit di Kuala Tahan

Mohd Hafiz dilaporkan berkata, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan lemah kerana hanya makan pada tengah hari serta tekanan yang dihadapi lebih-lebih lagi dalam cuaca sejuk dan gelap.

Ketika kejadian, ibu kepada salah seorang mangsa dikatakan telah menghubungi bomba selepas mendapati anaknya tidak memberi maklum balas sehingga petang Selasa.

Salah seorang mangsa, Amirah Afiqah Zahari, 28, dilaporkan berkata, itu adalah kali pertama mereka mendaki Gunung Angsi dan kejadian tersebut sekali gus memberi pengajaran.

"Sebenarnya kami salah pilih laluan yang mana menyebabkan kami banyak berhenti kerana penat dan hari semakin gelap.

"Kami kini masih dalam keadaan terkejut. Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada petugas yang berusaha mencari dan membawa kami turun dalam keadaan gelap," katanya.

Sementara itu, seramai 60 petugas terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Menanti, BBP Senawang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta bantuan malim gunung Jabatan Perhutanan.

Sebelum ini, kesemua mangsa dilaporkan sesat ketika mendaki di gunung berkenaan dan seramai enam anggota BBP Seri Menanti diarahkan ke lokasi kejadian dengan menaiki jentera FRT (Fire Rescue Tender) sejurus menerima panggilan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram