CNBLUE kembali ke Malaysia selepas satu dasawarsa


  • Hiburan
  • Rabu, 21 Feb 2024

Ini merupakan konsert kedua CNBLUE di Malaysia selepas menghiburkan peminat sekitar 2013. 

SELEPAS lebih 10 tahun tidak beraksi di Malaysia, CNBLUE bakal mengubati rindu dengan menggegarkan pentas di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 April ini.

Kumpulan pop-rock Korea Selatan itu melancarkan konsert bertajuk 2024 CNBLUE Live “CNBLUENTITY” in Kuala Lumpur bermula pukul 8 malam atas usaha Hit Maker Entertainment dan Lo-Fi Entertainment selaku penganjur bersama.

Ini merupakan konsert kedua CNBLUE di Malaysia selepas berjaya menghiburkan peminat sekitar 2013 melalui konsert Blue Moon 2013 CNBLUE World Tour.

CNBLUE yang dianggotai oleh Yonghwa sebagai vokalis utama dan gitar, pemain dram Minhyuk serta Jungshin sebagai pemain bass memulakan kerjaya seni mereka pada 2010 di bawah pengurusan FNC Entertainment.

Gabungan nama band dengan perkataan "identity", CNBLUENTITY adalah untuk menggambarkan identiti trio tersebut sempena konsert kali ini.

BACA LAGI: 'Saya fokus dekat Iqbal dan Datuk Vida', komposer terkenal enggan buat lagu raya untuk Datuk Seri Aliff Syukri

List of Fans Benefits (1)

Konsert yang diadakan itu pastinya bakal mengubati rindu peminat.

Sudah pasti band itu akan memikat hati peminat di Malaysia dengan lagu-lagu yang melonjakkan nama mereka seperti I'm a Loner, I'm Sorry, Love and Can't Stop dan banyak lagi.

Selain itu, CNBLUE juga pasti akan menghiburkan peminat dengan lagu-lagu baharu dendangan mereka dan beramah mesra dengan peminat setia yang digelar BOICE.

Sepanjang kerjaya mereka, CNBLUE telah merakamkan lagu dalam bahasa Korea, Jepun, Inggeris dan bahasa lain dengan diskografi yang merangkumi 11 album studio, 14 album mini (EP), 33 single dan tiga album kompilasi.

BACA LAGI: Rasa 'sayang' boleh buat anda keracunan ubat

allkpop_1633408864_cnblue

Band legenda itu telah menerima pelbagai anugerah seperti Golden Disc Awards, Mnet Asian Music Awards (MAMA) dan Melon Music Awards.

Selain muzik, ketiga-tiga ahli itu juga berbakat dalam bidang lakonan dan sering muncul dalam K-drama.

Yonghwa melakonkan watak utama dalam drama komedi Brain Works pada 2023, Minhyuk membintangi drama popular Celebrity tahun lepas, manakala Jungshin memainkan peranan utama dalam komedi percintaan Sh**ting Stars pada 2022.

Tiket ke 2024 CNBLUE Live “CNBLUENTITY” in Kuala Lumpur yang menampilkan pelbagai faedah kepada peminat akan mula dijual pada pukul 12 tengah hari, 29 Februari ini.

Jualan tiket pelbagai faedah yang dijual dalam bentuk terhad ini boleh dibeli melalui www.ticketingtix.com pada harga berikut, tertakluk pada yuran pemprosesan RM4:

Seating Layout (1)

Berdiri• Zon BOICE - RM798

(Faedah Untuk Peminat: Hanya 900 peminat berpeluang menonton band buat soundcheck, 900 peminat menyertai Sesi Selamat Tinggal, 200 peminat mendapat poster yang ditandatangani, Lanyard berlamina terhad semasa prajualan.)

Duduk• Zon THEN - RM698

(Faedah Untuk Peminat: Hanya 100 peminat berpeluang menonton band buat soundcheck, 100 peminat menyertai Sesi Selamat Tinggal, 60 peminat mendapat poster yang ditandatangani, Lanyard berlamina terhad semasa prajualan.)

• Zon NOW - RM598

(Faedah Untuk Peminat: Poster ditandatangani untuk 40 peminat, Lanyard berlamina terhad semasa prajualan.)

• Zon FOREVER - RM398

(Faedah Untuk Peminat: Lanyard berlamina terhad semasa prajualan.)

Sebelum jualan untuk umum, prajualan dalam talian untuk konsert itu akan disediakan dan peminat boleh membuat prapendaftaran di https://bit.ly/3UzKfCZ dengan kapasiti terhad, bermula dari 23 Februari selama tiga hari sahaja.

Pendaftar yang berjaya akan dapat mengakses prajualan tiket pada 28 Februari pukul 12 tengah hari dan menerima lanyard berlamina terhad dengan pembelian tiket mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram