Ketahui 4 keadaan boleh akibatkan pembuluh darah pecah dan cara cegah


  • Sihat
  • Khamis, 15 Feb 2024

Muhammad Amirul terlantar dan mengalami lumpuh di sebelah badan bahagian kanan akibat saluran darah pecah.

BERITA mengenai seorang pelajar cemerlang terlantar sakit akibat saluran darah ke otak pecah menimbulkan pelbagai spekulasi di media sosial.

Pelajar universiti swasta, Muhammad Amirul Nazmi Sam, 20, kini terlantar dan mengalami lumpuh di sebelah badan bahagian kanan selepas dijumpai pengsan di rumah sewanya yang terletak di Cyberjaya, Selangor pada 18 Disember 2023.

Dalam pada itu, pakar kesihatan, Dr Ahmad Samhan tampil menafikan pandangan orang ramai yang mengatakan bahawa perkara itu berlaku berpunca daripada tekanan pembelajaran.

"Ramai yang mengatakan bahawa stres belajar menyebabkan pembuluh darah pecah dan seterusnya mengakibatkan keadaan adik Nazmi sekarang.

"Sebenarnya isu ini bukan disebabkan oleh terlalu stres belajar," tulisnya.

Menurut Dr Samhan, secara umumnya, terdapat empat punca yang boleh menyebabkan saluran darah ke otak pecah iaitu aneurisme, tekanan darah tinggi, kencing manis dan trauma.

WhatsApp Image 2024-02-14 at 2.10.07 PM

Aneurisma pada bahagian kepala boleh mengundang kepada pembuluh darah pecah.

1. Aneurisma

Aneurisma otak atau brain aneurysm adalah pembengkakan yang berlaku pada salur darah otak.

Keadaan ini disebabkan oleh dinding salur darah menjadi lemah atas faktor tertentu seperti tekanan darah tinggi, berumur lebih 40 tahun, kecederaan di kepala dan pengambilan alkohol atau rokok.

Jika tidak dikesan dan dirawat, ia boleh pecah dan menyebabkan pendarahan dalaman sehingga terjadinya komplikasi yang lebih serius.

Untuk rekod, aneurisma tidak hanya berlaku pada salur darah otak, malah boleh didiagnosis pada salur darah seperti aorta, kaki dan limpa.

Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk mencegah aneurisma aorta seperti mengamalkan pemakanan sihat.

Pemakanan yang kaya dengan serat, rendah lemak sangat penting untuk mengekalkan saluran darah yang sihat.

Seseorang perlulah memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh, ikan dan kacang supaya dapat memastikan salur darah yang sihat.

Selain itu, seseorang perlulah mendapatkan pemeriksaan awal bagi mencegah masalah tekanan darah tinggi yang boleh mengundang kepada risiko aneurisma.

Berhenti merokok juga salah satu cara mengelak risiko terjadinya aneurisma.

Ini kerana, perokok lebih terdedah kepada gangguan aneurisma aorta kerana boleh merosakkan dinding saluran darah dan meningkatkan risiko aneurisma.

Dengan cara berhenti merokok mampu mengekalkan saluran darah dan jantung yang sihat.

Dalam pada itu, kekal aktif juga mampu membantu memastikan sistem peredaran darah berada dalam keadaan baik dan menguatkan otot jantung.

Seseorang perlulah mengamalkan gaya hidup aktif dengan melakukan aktiviti fizikal yang disukai.

BACA LAGI: Ibu bapa panik perkembangan anak terjejas ? Ketahui tanda-tanda, cara terbaik didik anak mild autisme

bacaan-darah-tinggi

Seseorang perlulah memastikan bacaan darahnya normal bagi mengelak risiko pembuluh darah pecah.

2. Tekanan darah tinggi

Tekanan darah tinggi berpunca daripada beberapa perkara seperti faktor umur yang semakin meningkat, tabiat minuman keras yang keterlaluan, banyak makan garam, berat badan berlebihan dan tekanan yang berlebihan.

Hipertensi atau tekanan darah tinggi boleh menyebabkan saluran darah di otak pecah.

Tekanan darah tinggi secara beransur-ansur akan meningkatkan tekanan darah yang mengalir melalui arteri.

Ini boleh merosakkan sel-sel dalam lapisan dalam arteri sehingga akhirnya saluran darah menjadi kurang elastik dan mengehadkan aliran darah ke seluruh badan.

Tekanan darah tinggi boleh dicegah dengan mengurangkan pengambilan garam dalam makanan.

Selain itu, senaman juga perlulah sentiasa dibuat sekurang-kurangnya selama 30 minit setiap minggu.

Ini kerana, senaman dapat memanjangkan jangka hayat saluran darah di samping mengekalkan berat badan yang ideal.

Pemeriksaan dengan kerap juga perlulah dibuat untuk mengenal pasti faktor risiko dengan lebih awal dan tepat.

BACA LAGI: Cemas kawan kena serangan jantung ketika bersukan? Pakar kongsi simptom dan ketahui bantuan awal

046708000_1624531504-Pembuluh-Darah-di-Mata-Pecah

Penyakit kencing manis merupakan salah satu punca saluran darah pecah di bahagian mata.

3. Kencing manis

Penyakit kencing manis juga merupakan salah satu penyebab saluran darah pecah di sekitar mata.

Diabetes boleh meningkatkan paras gula dalam darah di mata sehingga menyebabkan komplikasi yang dipanggil retinopati diabetik.

Salur darah pecah dalam retina boleh menyebabkan gangguan penglihatan dan mengurangkan tahap ketajaman penglihatan.

Penyakit kencing manis boleh dielakkan dengan cara mengurangkan pengambilan gula.

Apabila seseorang mengambil makanan bergula atau karbohidrat yang telah diproses, maka risiko untuk mendapat kencing manis juga adalah lebih tinggi.

Seseorang yang sering meletakkan tiga sudu gula dalam secawan teh perlulah mengurangkannya kepada satu sudu sahaja.

Pemanis menggunakan guna boleh digantikan dengan bahan lain seperti gula perang dan juga stevia.

Selain itu, seseorang perlulah mengekalkan aktiviti fizikal sebagai cara mencegah penyakit diabetes.

Dengan melakukan aktiviti fizikal, ia boleh membantu mengawal dan menurunkan paras gula darah anda.

Berat badan juga akan semakin berkurangan dan meningkatkan sensitiviti tubuh anda terhadap insulin.

Apabila tubuh badan anda lebih sensitif terhadap insulin, maka gula darah tidak akan kekal berada dalam aliran darah anda.

Antara jenis aktiviti fizikal yang boleh dilakukan adalah seperti berjalan kaki, mengemas rumah, memotong rumput atau sebarang aktiviti lain yang membuatkan tubuh anda lebih aktif.

Pentingnya_Pertolongan_Pertama_Pada_Cedera_Kepala

Pernah mengalami kecederaan pada bahagian kepala boleh mengundang saluran darah ke otak pecah.

4. Trauma di kepala

Sebarang bentuk trauma fizikal atau kesan yang berlaku pada kulit kepala, tengkorak, otak serta tisu dan saluran darah boleh menjadi kecederaan di kepala.

Kecederaan itu boleh menjadi ringan seperti hanya benjolan, lebam atau luka pada kulit kepala.

Bagaimanapun, kecederaan kepala juga boleh menjadi teruk mengakibatkan kecederaan otak yang serius.

Rawatan untuk trauma pada bahagian kepala bergantung pada jenis, keterukan, gejala, umur, dan keadaan perubatan pesakit tersebut.

Terdapat beberapa rawatan yang diberikan doktor bagi merawat kecederaan di kepala seperti jahitan pada kulit kepala yang cedera, pembedahan untuk membaiki tulang yang patah ataupun terapi untuk pemulihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram