Ditinggalkan ibu bawa bapa sakit jantung ke hospital, 6 beradik nyaris rentung terkunci dalam apartmen terbakar di Damansara Damai


  • 112
  • Isnin, 12 Feb 2024

Antara kanak-kanak yang terperangkap di dalam rumah terbakar di Damansara Damai sebelum diselamatkan bomba pada Isnin. — JBPM Selangor

ENAM beradik nyaris maut akibat terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor sebelum diselamatkan pasukan bomba pada Isnin.

Kesemua kanak-kanak difahamkan berusia antara dua hingga 11 tahun itu ditinggalkan dalam rumah berkunci kerana ibu bapa mereka ke hospital.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian daripada jiran pada pukul 11.15 pagi.

BACA LAGI : Warga emas lumpuh rentung tepi pintu bilik dalam kebakaran rumah kedai di Sitiawan

msg1050426791-24993

Bomba ketika sedang melakukan operasi menyelamat mangsa. — JBPM Selangor

BACA LAGI : Tiada unsur jenayah, polis kawal kawasan pemindahan sementara mangsa kebakaran Flat Sri Sabah

Mukhlis berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh dengan kekuatan tujuh pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, anggota terpaksa memotong jeriji besi pintu hadapan untuk masuk ke dalam rumah. Kebakaran membabitkan sofa di ruang tamu.

"Pasukan segera memadamkan kebakaran dan mendapati terdapat enam kanak-kanak terdiri daripada empat perempuan dan dua lelaki kembar di dalam rumah itu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, kebakaran bagaimanapun tidak membabitkan struktur bangunan.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak terbabit ditinggalkan di rumah kerana ibu mereka membawa bapa mendapatkan rawatan penyakit jantung di hospital berdekatan.

Tambahnya, kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan sudah diserahkan kepada ibu bapa mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram