SETIAP mahasiswa di mana-mana IPTA dan IPTS pasti impikan pointer Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang boleh dibanggakan.
Sebenarnya untuk mendapatkan pointer CGPA 4.00 merupakan suatu target yang sukar dan berat untuk dicapai dan konsisten pada setiap semester, tetapi tidak boleh katakan ia mustahil.
Boleh ditamsilkan kepayahan untuk mencapai CGPA yang cantik bagaikan mendaki Gunung Everest yang menjulang tingginya.
Ia memerlukan keazaman, semangat dan cita-cita yang sangat kuat.
Setiap pelajar itu wajiblah titipkan dalam jiwanya untuk mendapatkan pointer dan merit yang tinggi (yang mana merupakan faktor penting untuk meningkatkan CGPA) kerana ia sangat mempengaruhi kelayakan pelajar untuk memohon biasiswa misalnya Biasiswa Agong, pinjaman YBR, bantuan pendidikan, jawatan dalam suatu pekerjaan, tempat latihan industri yang fleksibel dan mesra pekerja, peluang untuk sambung belajar di universiti luar negara.
Dalam artikel ini, saya akan mengupas beberapa teknik dan tip yang dikongsi oleh pensyarah kanan di Universiti Awam, Dr Nazri Bajuri untuk mendapat dekan pada setiap semester dengan cemerlang.
BACA LAGI: Mudah lupa, cepat emosi, terbantut antara bahaya makanan ringan!
1.Mengkaji soalan peperiksaan tahun-tahun sebelum.
Kebiasaannya pensyarah-pensyarah akan membuat soalan bergantung kepada soalan-soalan tahun lepas untuk melihat tahap pencapaian pelajar, tetapi bergantung juga kepada keperluan pasaran semasa.
Antara manfaat jika kita mempraktikkan tip ini, kita akan terbiasa dengan format dan struktur peperiksaan, mengetahui kata kunci atau isi-isi penting, dan dapat meningkatkan keyakinan dalam menjawab soalan yang serupa malah mengurangkan kebimbangan dalam menjawab peperiksaan.
2. Kerap untuk berjumpa dengan pensyarah.
Ini akan menghasilkan satu penglibatan yang kuat, bukan sahaja dapat belajar sesuatu daripada mereka, malah dapat dekat dari hati ke hati antara pensyarah dan pelajar.
Ini kerana ilmu itu cahaya, apabila cahaya itu menerangi hati kita ilmu itu akan mudah difahami dan dihadam serta memberi impak yang lebih besar kepada kehidupan dan pembelajaran kita.
Satu kajian di Universiti Oxford menunjukkan bahawa pihak universiti memang mewajibkan pelajarnya antara dua atau tiga orang pada setiap minggu untuk berjumpa pensyarah atau tutor.
Mereka menjadikan sesi ini sebagai tutorial untuk bertanyakan soalan atau berbincang suatu permasalahan secara mendalam.
3.Bangun awal pagi.
Ciri ini sangat bertepatan dengan ciri-ciri pelajar cemerlang yang memperolehi gred CGPA yang lebih tinggi.
Ini kerana tabiat ini lebih proaktif dan mempunyai perancangan masa yang lebih baik.
Sebagai tamsilnya, bangun awal pagi pada pukul 4.30 pagi hingga pukul 5.00 pagi akan menjadikan otak kita lebih segar, lapang dan tenang.
Kita perlu seimbangkan waktu tidur, untuk bangun awal pagi perlulah untuk tidur awal malam, supaya badan dan minda kita dapat rehat yang secukupnya tambahan pula tahap oksigen sangat cantik pada waktu tersebut.
4.Sentiasa membuat persiapan awal.
Misalnya, membaca nota-nota kuliah, slide dan buku rujukan sebelum sesi kuliah bermula.
Sekarang kita mempunyai sistem online seperti e-learning dan goals untuk memudahkan para pensyarah meletakkan segala nota kuliah pada awal minggu pembelajaran.
Dampaknya, semasa berlangsungnya sesi kuliah tersebut, kita dapat agak apa yang pensyarah tersebut hendak sampaikan.
Kemudian membolehkan kita untuk sediakan awal-awal soalan atau pendapat untuk berkongsi kepada kawan-kawan sekelas supaya dapat menguatkan lagi kefahaman kita dalam topik tertentu.
5. Aktif berpartisipasi (pembelajaran aktif).
Interaksi dua hala antara murid dan guru merupakan antara cara pembelajaran yang seronok kerana dua-dua pihak mendapat respon yang aktif.
Bayangkan di dalam kelas, apabila pensyarah bertanya atau membuat aktiviti tetapi kita tidak melibatkan diri.
Maka kemahiran motor minda dan badan tidak dapat merangsangkan proses penderiaan.
Oleh itu, kita akan kurang berupaya untuk menyerap ilmu dan memahami dengan mendalam.
Aktif berpartisipasi ini penting untuk merangsang kesegaran minda dan badan seperti mengangkat tangan untuk bertanya soalan atau memberi pendapat.
6. Menampal formula dan fakta di dinding.
Tip ini sangat membantu kerana keterhadan masa dimana kita hanya mempunyai 24 jam sahaja sehari.
Contohnya, semasa memakai baju atau tudung, kita boleh curi-curi lihat formula yang ditampal di dinding.
Perkara ini sebenarnya membantu kita untuk sentiasa ada peringatan yang berterusan untuk ingat sesuatu dan menjadi lebih kreatif.
Cara kita berfikir akan lebih bertambah baik.
Memetik kata-kata Julia Cameron, the creative process is a process of surrender, not control.
7. Menggunakan Teknik Feynman.
Teknik belajar ini ialah teknik yang seakan kita mengajar sesuatu topik kepada orang lain dalam bahasa yang mudah.
Caranya, kita perlu membentuk satu kelompok belajar untuk mengajar orang lain dengan menggunakan teknik ini sehingga mereka faham.
Ianya satu rantaian yang boleh membuatkan penguasaan pengetahuan sampai kepada tahap yang lebih tinggi kerana ilmu tersebut akan terus disebarkan, bukan sahaja pada diri sendiri atau rakan, tetapi pada rakan kepada rakan kita dan seterusnya.
8. Kombinasi mentaliti dan semangat (heartset).
Kita perlu tetapkan satu mentaliti dalam diri untuk menjadi aset kepada pensyarah dan rakan-rakan.
Maksudnya ialah sebagai contoh apabila pensyarah memerlukan seseorang untuk memberi penjelasan tentang sesuatu dan anda boleh tawarkan diri untuk menjelaskannya kepada orang lain.
Ianya akan mendorong kita ke tingkat pemahaman belajar yang lebih tinggi.
Menjadi aset kepada rakan sekelas seperti membentuk kelompok belajar juga membawa manfaat besar, kerana rezeki yang paling manis adalah rezeki yang dikongsi bersama.
Ingatlah bahawa, keputusan CGPA yang cemerlang bukanlah sekadar angka di transkrip.
Ianya merupakan bukti semangat kental, dedikasi dan penat lelah dalam menimba ilmu. Rangkullah cabarannya dan nikmati pencapaiannya. — Majoriti
Nur Waheeda Sabrina Sabri merupakan pelajar Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
*Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram