
PELAWAK dan pelakon, Hamdan Ramli, 55, yang ditidurkan selama hampir seminggu di Hospital Sultanah Aminah, (HSA), Johor Bahru, Johor akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya pada Jumaat.
Pemergian Allayarham itu disahkan oleh anak bongsunya, Nur Natasya Umairah, 20, dan dilaporkan meninggal dunia sekitar pukul 12.50 tengah hari.
BACA LAGI: Datuk M Daud Kilau meninggal dunia di Hospital Teluk Intan
"Assalamualaikum semua, khabar duka. Hamdan Ramli sudah tiada sebentar tadi," katanya, lapor Kosmo.
Ahli keluarga Hamdan yang bersedih ketika Allayarham ditidurkan pada Isnin lalu. — Bernama
Pada 31 Disember 2023, anggota kumpulan Senario itu dilaporkan dimasukkan ke hospital dan ditidurkan pada Isnin lepas akibat komplikasi buah pinggang.
Allayarham juga dilaporkan terpaksa ditidurkan selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dalam darah, jantung lemah dan paru-paru berair.
BACA LAGI: Penyanyi Mimpi Yang Tak Sudah, Ibnor Riza meninggal dunia
Hamdan juga tidak kesampaian untuk menjayakan acara Wonderful Night with Senariounion sempena tahun baharu bersama anggota Senario lain.
Pada masa sama, salah seorang anggota Senario, Azlee dilaporkan berkata, jenazah Hamdan dibawa terus ke Ipoh, Perak dan dikebumikan di kampung halaman arwah pukul 3 petang.
Sementara itu, arwah meninggalkan seorang isteri, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat orang cahaya mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram