PENYANYI legend, Datuk M Daud Kilau telah menghembus nafas terakhirnya pada pukul 4.40 petang Isnin.
Datuk M Daud Kilau dilaporkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk, Perak selepas solat Zohor pada Selasa.
Khabar duka itu dikongsi cucu Allahyarham yang dikenali sebagai Hasnorikram di Instagram storynya, yang jelas sangat terkesan dengan pemergian penyanyi legenda yang sinonim dengan gelaran 'Raja Gelek' itu.
"Atuk saya Mohd Daud Kilau telah menghembuskan nafasnya yang terakhir sebentar saja tadi. Al-Fatihah," katanya.
Pemilik nama sebenar, Muhammad Daud Kilau itu sebelum ini berdepan masalah penyakit jantung, paru-paru berair dan kebas anggota kaki dan tangan.
Penyanyi berusia 85 tahun itu pada Mei lalu juga pernah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan gara-gara masalah sesak nafas.
Muhammad Daud mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio Singapura pada 1968.
Bertitik tolak kemenangan itu, penyanyi yang popular dengan lagu Cek Mek Molek itu berpeluang menjadi artis rakaman,menghasilkan pelbagai album berkonsepkan langgam, asli dan dangdut.
Beliau pada 1985 pernah menjuarai kategori asli dalam Pesta Dendang Rakyat.
Jasa dan sumbangannya kepada dunia seni tempatan terbalas apabila beliau dikurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak pada 1991. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram