PENYANYI meningkat naik, Luqman Podolski, 25 dan Bunga Isme, 23, mendedahkan rahsia di sebalik ciptaan lagu terbaharu Sudah Kahwin Ke Belum yang menimbulkan pelbagai spekulasi ramai.
Tanpa berselindung lagi, kedua-duanya mengaku bahawa topik perbualan tentang jodoh sememangnya menjadi soalan utama yang sering ditujukan ketika menghadiri pelbagai majlis terbuka.
Menurut Luqman atau nama sebenar Luqmanul Haqim Kamaruddin, dia menganggap perkara itu bagaikan sesuatu yang wajib ditanya oleh orang awam terutamanya warga emas setiap kali bertemu.
Bunga (kiri) dan Luqman (kanan) selepas mempromosikan lagu terbaharu mereka di Suria FM pada 8 November.
"Idea ini muncul kerana setiap kali pergi ke majlis perkahwinan atau perayaan, akan ada satu makcik atau pakcik yang mahu berbual tetapi memilih topik ini sebagai topik hangat.
"Sebagai contoh, mereka selalu tanya saya punya giliran bila lagi, setiap tahun macam wajib tanya walaupun sudah tanya banyak kali," katanya kepada Majoriti.
Katanya, ia terjadi bukan kepada dirinya sahaja, malah teman-temannya turut mengalami perkara sama.
Bukan itu sahaja, Bunga turut tidak menafikan bahawa dirinya tidak terlepas daripada diajukan soalan-soalan seperti itu sehingga membuatkannya agak tidak selesa.
Poster lagu baharu yang sudah dimainkan di pelbagai platform sejak September lalu.
Namun, baginya idea itu yang memberi kelainan terhadap naskhah yang dihasilkan bersama Luqman.
Untuk pengetahuan ramai, lagu yang dicipta bersama itu merupakan lagu lama yang sudah dimodenkan mengikut kesesuaian dengan trend generasi sekarang.
"Walaupun itu lagu yang pernah dicipta oleh orang lain, kami ambil itu sebagai sample dan ubahnya mengikut kreativiti. kami tak ambil sepenuhnya sama macam lagu asal," katanya.
Pada masa sama, Luqman juga tidak menafikan ia merupakan satu strategi yang baik bagi perkembangan karier nyanyian mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram