PERLAWANAN antara Sri Pahang menentang PDRM FC dicemari dengan pelbagai insiden pergaduhan sehingga menyaksikan pengadil perlawanan melayangkan sebanyak tujuh kad kuning.
Kemuncak pergaduhan antara kedua-dua pasukan berlaku apabila berlaku pelanggaran antara pemain Tok Gajah dengan penyerang import The Cops, Uche Agba pada masa kecederaan.
Menerusi siaran langsung Astro Arena, gelagat pemain kelahiran Nigeria itu yang dilihat menerangkan kesakitannya kepada pengadil dengan menampar pahanya namun menjadi bahan hiburan penyokong.
Ketika kekecohan berlaku, tonggak berpengalaman, Fadhli Shas pula dilihat mengoyakkan baju pemain pertahanan pelawat, James Okwuosa sebelum kedua-duanya dileraikan oleh pengadil perlawanan.
Selain suasana kontroversi itu, aksi tersebut juga dihiasi dengan gangguan teknikal apabila lampu limpah Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang terpadam sehingga perlawanan terhenti selama empat minit.
Keputusan itu menyebabkan Sri Pahang FC terpaksa akur gagal mengutip tiga mata penuh apabila tumbang kepada PDRM 2-3 dalam saingan Liga Super ke-23.
Separuh masa pertama bermula dengan percubaan demi percubaan dilakukan oleh jentera serangan Sri Pahang yang diketuai oleh Kpah Sherman dan ia jelas membuah hasil apabila pemain import itu mencetak jaringan seawal minit ketujuh.
Kem Tok Gajah mula terancam apabila tangan pemain tengah dari Filipina, Kevin Ingreso pada minit ke-32 dan membuatkan pengadil perlawanan memberi sepakan penalti kepada pasukan pelawat dan disempurnakan oleh Bruno Suzuki.
Pada minit ke-42, gabungan trio yang dimulakan Hadi Fayyadh menerusi hantaran Bruno dan disempurnakan oleh Dzulfahmi Abdul Hadi berhasil menggandakan jaringan skuad The Cops.
Sebelum babak pertama berakhir, penyerang Jepun-Brazil itu sekali lagi menjadi peledak The Cops dengan mencetak jaringan kedua peribadi menerusi umpanan dari Hadi Fayyadh pada minit ke-46.
Ketinggalan 1-3, Stefano Brundo menjaringkan gol kedua buat Sri Pahang hasil sepakan penalti selepas Zuhair Aizat Mohd Nazri dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-67 namun belum cukup untuk memastikan tuan rumah sekurang-kurangnya pulang dengan satu mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram