Puteri Khareeza selebriti serba boleh, belum boleh pilih nak jadi peguam atau anak seni


  • Hiburan
  • Selasa, 07 Nov 2023

Puteri Khareeza yang mempunyai bakat serba boleh dalam industri hiburan tempatan.— Instagram/Puteri Khareeza

SELEBRITI serba boleh, berbakat dalam bidang lakonan dan nyanyian. Kemunculan Puteri Khareeza sememangnya bukan baharu dalam industri hiburan tanah air.

Bukan calang-calang orang, Puteri atau nama sebenar Puteri Asfaryna Khareeza Arif, 25, merupakan penuntut Jurusan Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tetapi tidak pernah berhenti untuk terus bergelar anak seni.

Puteri yang sudah bergiat aktif sejak berusia tujuh tahun itu juga mendedahkan bahawa walaupun masih belajar, aktiviti seninya tetap diteruskan buat masa ini.

msg1050426791-18565

Puteri ketika ditemui di Suria FM pada Rabu.

Katanya, minat yang mendalam pada industri itu membuatkan dia berfikir berkali-kali untuk meneruskan kerjaya impiannya sebagai seorang peguam selepas tamat belajar.

"Buat masa sekarang, saya tidak boleh memilih mana satu dan memang saya buat semua, saya berlakon, bernyanyi dan belajar pada masa sama.

"Tetapi lepas belajar yang tidak tahu lagi. Saya akan tetap buat chambering sebab mahukan lesen sebagai peguam dan mungkin kerjaya apa yang mahu diteruskan akan difikirkan selepas chambering nanti," katanya kepada Majoriti.

Kata Puteri, menjadi seorang peguam memang cita-cita yang sudah lama diimpikan, namun selepas mempelajarinya, minatnya lebih cenderung menjadi penasihat undang-undang atau Majistret.

"Saya masih belum jadi peguam kerana sedang habiskan belajar dan ada dua semester lagi. Tetapi memang cita-cita saya daripada kecil untuk bergelar seorang peguam. Saya pilih nak jadi peguam waktu itu pun sebab tidak gemar dengan subjek yang ada pengiraan.

"Bila sudah belajar ini minat saya lebih ke arah menjadi penasihat undang-undang atau Majistret walaupun saya sekarang masih bernyanyi dan berlakon," jelasnya.

Melakukan pelbagai kerja pada masa sama pastinya tidak mudah, begitu juga dengan Puteri yang juga merupakan salah seorang peserta Big Stage musim kelima.

msg1050426791-18567

Puteri yang merupakan pemenang tempat keenam dalam program realiti televisyen, Big Stage 2023. — Instagram/Puteri Khareeza

Dia mengakui bahawa kerjaya yang dilakukannya itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada proses pembelajarannya.

Justeru, pembahagian masa amat penting baginya bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

"Bahagikan masa memang sangat susah sebenarnya sebab kadang-kadang ada tarikh yang bertindih juga antara masa penggambaran dengan belajar.

"Jadi, kita memang perlu susun betul-betul. Cuti itu jarang ada tetapi jika cuti memang saya tidur atau luangkan masa bersama keluarga.

"Buat masa ini, tiada lagi yang terlepas namun ada masa saya jadi lambat sedikit ketika kelas kerana ada masa tiada sambungan internet ketika penggambaran," katanya lagi.

msg1050426791-18568

Poster lagu terbaharu Puteri Khareeza yang berjudul Helah.

Bagaimanapun, ia bukanlah suatu halangan buatnya kerana dia sangat menjaga setiap kualiti kerja yang dilakukan supaya tidak timbul sebarang isu melibatkan pelajarannya.

"Buat masa sekarang, memang saya siapkan semua kerja dan tiada lagi sesiapa yang ada isu atau sakit hati dengan saya setakat ini," tambahnya.

Untuk perkembangan terbaharunya, Puteri kini sedang giat mempromosikan lagu terbaharunya berjudul Helah dan baru sahaja selesai penggambaran filem terbaharunya yang akan ditayangkan pada 2024.

Dalam pada itu, Puteri yang sudah berkecimpung selama hampir 16 tahun dalam industri itu turut mengharapkan sokongan ramai terhadap setiap karya yang dihasilkannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram