NAMA yang tidak cukup asing lagi, kumpulan rock Kristal X yang ditubuhkan daripada kumpulan asal iaitu Kristal ternyata masih kekal dalam hati peminat muzik tempatan.
Walaupun Kristal X mungkin menjadi bayangan kumpulan asal, namun setiap lagu yang dibawa mereka masih mempunyai identiti yang tersendiri.
Bagi Lan Solo selaku vokalis utama Kristal X, setiap album atau lagu yang dihasilkan mempunyai unsur muzik yang agak berat jika mahu dibandingkan dengan penghasilan sebelum ini.
Lan Solo, vokalis utama Kristal X ketika ditemui selepas selesai persembahan di konsert Suria Volusi pada 21 Oktober.
"Sebenarnya Kristal X ini masih sebuah kumpulan rock & roll dan pada masa sama, tetap mengekalkan lagu-lagu yang mampu menarik minat pendengar zaman sekarang," katanya kepada Majoriti.
Bukan itu sahaja, Lan juga menyatakan bahawa kumpulan itu dilihat mampu untuk bersaing secara sihat dengan kumpulan lain atau penyanyi baharu yang kian meningkat naik.
"Pada pandangan saya, mungkin kerana kami sudah lama dalam industri ini, hampir 23 tahun juga walaupun daripada Kristal bertukar kepada Kristal X tetapi masih diterima baik oleh orang ramai.
"Untungnya 'orang lama' ini juga mungkin dari segi lagu-lagu yang sehingga sekarang belum lagi mati dan masih menjadi siulan ramai.
"Tetapi saya melihat ia sebagai suatu perkara yang bagus dan melakukan persaingan secara sihat dengan pendatang baharu bidang seni," jelasnya.
Katanya, persaingan antara penyanyi lama dengan yang baharu membuatkan mereka terus kuat dalam mengekalkan identiti sebagai Kristal X.
Kristal X yang dianggotai oleh Lan (vokalis), Ainol (dram), Ezal (bass) dan Napie (gitar).
Kristal X yang dianggotai oleh bekas kumpulan asal itu jelas tidak mahu ketinggalan untuk bergerak maju selari dengan perkembangan industri hiburan.
"Selain itu, kami pun akan cuba untuk memenuhi kriteria-kriteria yang dimahukan oleh pendengar zaman ini.
"Cuma disebabkan umur kami yang sudah mencecah 40-an, jadi agak sedikit perlahan untuk sama-sama mengikut rentak itu," tambahnya.
Dalam pada itu, Lan turut mendedahkan kumpulannya itu sedang aktif menjalankan projek pembikinan lagu yang mungkin bakal dikeluarkan pada hujung 2023 atau awal 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram