PENDIDIKAN Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) merupakan antara elemen terpenting yang menyokong kelangsungan pembangunan dan kemajuan negara.
Disebabkan itu, negara ketika ini menyasarkan untuk meningkatkan kadar penyertaan pelajar ke dalam aliran STEM kepada 60 peratus.
Selari dengan misi tersebut, Kementerian Pendidikan (KPM) kini terus memperhebatkan strategi bagi menarik minat pelajar menyertai aliran pendidikan tersebut.
Ini kerana penerapannya ke dalam sistem persekolahan negara dilihat memberikan pelbagai manfaat bukan sahaja buat negara, malah kepada setiap pelajar yang memutuskan untuk memilih mempelajari subjek di bawah aliran berkenaan.
Antara kebaikan diperoleh termasuk melatih berfikir secara kritis, menganalisis masalah dan keupayaan membangunkan penyelesaian secara inovatif.
Di samping itu, aliran STEM secara langsung melengkapkan pelajar dengan kemahiran diperlukan untuk berjaya dalam dunia semasa yang dipacu teknologi, selain memupuk kreativiti dengan memberi inspirasi bagi meneroka dan berfikir di luar kotak.
Penyertaan dalam aktiviti STEM di sekolah turut mampu memupuk nilai kerjasama dan semangat berpasukan melalui mendedahkan terhadap persekitaran dunia kerja sebenar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua kiri) ketika hadir Ekspo STEM Sg Petani, Kedah pada Jun lalu.
Dengan itu, ia sekali gus menjadi platform merapatkan jurang antara teori dan praktikal dengan menghubungkan pembelajaran bilik darjah kepada realiti dunia sebenar.
"Ini bermakna aliran STEM mendedahkan pelajar terhadap pelbagai peluang kerjaya dalam bidang yang sedang berkembang pesat seperti teknologi, kejuruteraan, penjagaan kesihatan dan tenaga boleh diperbaharui.
"KPM juga sudah melaksanakan pelbagai langkah proaktif dalam usaha meningkatkan minat dan peratusan penyertaan pelajar dalam bidang STEM," ujar kementerian.
Lebih utama lagi, usaha yang sedang dijalankan itu selari dengan pengisian terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.
Di bawah perancangan tersebut, pelbagai langkah dilaksanakan untuk meningkatkan minat pelajar terhadap aliran tersebut.
Antaranya dengan menjalankan pendekatan pembelajaran baharu dan dengan pengukuhan kurikulum; menambah baik kemahiran dan kebolehan guru STEM; meningkatkan kesedaran tentang STEM dalam kalangan pelajar, ibu bapa serta orang awam.
"Untuk memastikan peningkatan kesedaran STEM dalam kalangan pelajar, ibu bapa, masyarakat dan orang ramai, program dan kempen berbentuk hiburan turut diadakan secara berterusan," katanya.
Program dijalankan itu meliputi keseluruhan peringkat bermula di sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan bagi memberi peluang kepada semua murid daripada pelbagai latar belakang.
Antara inisiatif dilangsungkan termasuk:
> Karnival STEM
> Karnival Kemahiran Digital
> Pertandingan Inovasi, Sains, Teknologi dan Kejuruteraan
> Pertandingan Robotik Kebangsaan
> Program Expo STEMist Muda
> Olimpiad Matematik Antarabangsa
> Olimpiad Fizik Antarabangsa
> Olimpiad Kimia Antarabangsa
> Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa dan
> Program Kerancakan STEM dan Robotik
KPM berkata, pelajar di dalam negara ketika ini sentiasa diberi galakan dan peluang untuk menonjolkan bakat STEM mereka melalui aktiviti kokurikulum.
Pada tahun ini sahaja, sebanyak 13 pertandingan dan aktiviti STEM peringkat kebangsaan dan antarabangsa dilaksanakan dengan penglibatan kira-kira 16,000 pelajar dari seluruh negara.
Jumlah tersebut tidak termasuk program anjuran universiti dan kementerian lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan agensi luar.
Antara peserta yang menyertai Pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 2023 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, Johor pada September lalu. — UTHM
"Terbaharu, pelajar di bawah KPM berjaya memenangi dua pingat emas dan dua pingat gangsa dalam Kejohanan Jemputan Persahabatan Olimpik Robot Dunia (WRO) DIU Odense, Denmark yang berlangsung dari 21 hingga 24 September lalu," kata KPM.
Dalam pada itu, KPM berkata, pihaknya sentiasa berterusan mencari jalan terbaik bagi membangunkan modal insan berpengetahuan, berkemahiran untuk menyertai aliran STEM.
"Untuk melahirkan bakat STEM yang mampu beradaptasi memenuhi keperluan masa hadapan, strategi dilaksanakan KPM termasuk melalui peningkatan kualiti program akademik dan latihan, memastikan hasil pembelajaran lebih saksama, memanfaatkan teknologi baharu dan memperkukuh tadbir urus.
"Ini selaras dengan tuntutan digariskan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030," katanya.
KPM menambah, kementerian pada masa sama sentiasa berusaha menambah baik pengalaman pembelajaran pelajar di sekolah.
Antara pendekatan dilaksanakan termasuk menerusi pemantapan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam dan di luar bilik darjah.
Antara peserta yang menyertai Pertandingan Robotik Kebangsaan Peringkat Akhir Tahun 2023 di UTHM di Batu Pahat, Johor pada September lalu. — UTHM
Melalui inisiatif berkenaan, pelajar digalakkan untuk melaksanakan pembelajaran berasaskan inkuiri, pembelajaran berasaskan projek dan pembelajaran berasaskan masalah dengan mengambil kira konteks realiti sebenar.
"KPM juga melaksanakan semula ujian amali sains bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selaras dengan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sejak 2021.
"Pelaksanaan ujian amali ini bertujuan menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran sains melalui kaedah PdP amali atau eksperimen," katanya.
Bagi memperhebatkan usaha tersebut, KPM juga menghasilkan pelbagai bahan sokongan PdP yang dibangunkan khas untuk memenuhi keperluan pelajar di dalam negara.
Antaranya adalah Panduan Pelaksanaan STEM Dalam PdP; Bahan Sumber Inkuiri Sains; Bahan Sumber Inkuiri Matematik; Modul Pendekatan Inkuiri Melalui Penguasaan Kemahiran Proses Sains Tahap II Sekolah Rendah; Bahan Sumber Sains Sekolah Menengah; Panduan PdP Biologi, Fizik dan Kimia serta Pemikiran Matematik; Panduan PdP Permodelan Matematik; dan Panduan PdP Matematik Tambahan.
Kesemua bahan sokongan tersebut boleh diakses di Portal Bahagian Pembangunan Kurikulum, Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) dan Repositori SumberKU.
Bagi pembangunan infrastruktur diperlukan, sebanyak RM100 juta diperuntukkan dalam Bajet 2024 untuk pemerkasaan STEM khususnya bagi menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah serta perolehan peralatan baharu.
Di samping itu, di bawah Rolling Plan Ketiga, peruntukan sebanyak RM254.1 juta diluluskan untuk bekalan peralatan pengajaran Reka Bentuk Teknologi (RBT) sementara RM25.7 juta lagi disediakan bagi mengubah suai dan menaik taraf bilik RBT di sekolah rendah.
"Semua peruntukan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menyokong pendidikan STEM," kata KPM.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (dua kiri) ketika hadir Majlis Penganugerahan Duta Guru Kohort 3 bersempena dengan Simposium Kebangsaan 2023 pada Oktober lepas.
Dalam pada itu, proses pengajaran di sekolah juga tidak akan sempurna tanpa sokongan tenaga pengajar yang cekap dan berkemahiran.
Ini kerana, kompetensi dan pemantapan PDP sama ada ketika pembelajaran di dalam dan di luar bilik darjah merupakan elemen cukup penting dalam meningkatkan minat pelajar terhadap subjek STEM.
Untuk tujuan tersebut, kementerian turut menjalin kerjasama dengan Yayasan PETRONAS (YP) untuk melaksanakan Program Duta Guru YP-KPM bagi memperkasakan seramai 4,500 guru STEM di dalam negara.
Program jangka panjang bersama industri ini menyasarkan untuk mengukuhkan keupayaan guru STEM bagi melatih kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) di sekolah yang majoriti pelajarnya terdiri daripada murid kumpulan B40.
“Selain itu, program ini bertujuan untuk melahirkan generasi penyelesai masalah masa hadapan,” tambahnya.
Sementara itu, program lain yang turut memberikan tumpuan bagi peningkatan penguasaan pedagogi dalam kalangan guru adalah melalui program Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) Bersepadu STEM di bawah Projek Konsultasi Eksekutif STEM.
Inisiatif tersebut menekankan usaha memantapkan keupayaan pengurusan dan pengetua dengan menggunakan pendekatan pembangunan organisasi.
Ini bagi membolehkan mereka memimpin sekolah melaksanakan pendidikan STEM lebih bersepadu yang turut melibatkan bukan sahaja warga sekolah, malah komuniti setempat.
“Selain itu, KPM telah menghasilkan dokumen kompetensi guru STEM untuk dijadikan panduan kepada guru, pemimpin, penggubal dasar dan penyedia latihan bagi memastikan guru KPM sentiasa berkualiti dan terus relevan di masa hadapan.
“Langkah ini dilaksanakan supaya kompetensi guru KPM sentiasa selari dengan cabaran pendidikan abad ke-21 serta Revolusi Perindustrian Keempat,” kata kementerian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram