Cinta Sampai Mati naskhah Atilia Haron buat insan istimewa


  • Hiburan
  • Sabtu, 04 Nov 2023

Atilia Haron melancarkan lagu baharu berjudul Cinta Sampai Mati pada Khamis.

PEMINAT seni tanah air sememangnya mengenali Atilia Haron yang popular dengan lagu Bahagiaku, Sandaranku, Kekanda Adinda, SelainNya dan Aku Curiga.

Baru-baru ini, Atilia Haron, atau nama sebenar Raja Putri Atilia muncul kembali dengan single terbaharu berjudul Cinta Sampai Mati yang dilancarkan pada Khamis.

Memilih untuk membawa kelainan dari sebelumnya, buat pertama kalinya, Atilia memutuskan untuk mengeluarkan lagu bergenre balada.

Naskhah itu dilihat berbeza daripada kebanyakan lagu-lagu sebelum ini yang berentak jazz seperti lagu Kekanda Adinda dan Bahagiaku.

Menceritakan kisah di sebalik pembikinan lagu itu, Atilia berkata, dia melancarkan lagu itu tepat pada tarikh ulang tahun arwah ayah kandungnya Raja Haron Raja Aziz iaitu pada 2 November 2023.

Anak kepada penyanyi legenda Salamiah Hassan itu mengakui masih terkesan dengan kehilangan arwah ayahnya disebabkan memiliki hubungan yang rapat dengan lelaki terbabit.

"Saya tidak boleh terima sehingga pada ketika itu saya mendiamkan diri, tidak aktif di media sosial dan tidak muncul menyanyi," katanya.

Berkisarkan pengalaman kehidupan nyata, lagu Cinta Sampai Mati turut didedikasikan untuk ayah tirinya selain daripada ayah kandungnya yang meninggal dunia.

Pada September lalu, penyanyi Atilia Haron mendedahkan, dia sepatutnya bertemu bapa tiri, Gerry Hughes buat pertama kali ketika majlis pernikahan ibunya.

Bagaimanapun, dia tidak sempat berbuat demikian kerana permohonan visa yang tidak diluluskan dan Allahyarham Gerry menghembuskan nafas terakhir pada 4 November 2022.

Atilia berkata, lagu baharu yang dikeluarkan itu dapat dikaitkan dengan rata-rata kehidupan masyarakat yang memiliki kisah menyedihkan.

"Lagu ini dapat dikaitkan dengan ramai orang yang memiliki kisah cinta, putus cinta dan perasaan cinta yang mendalam kepada seseorang," katanya.

Melancarkan sesuatu album tidak semudah disangka, Atilia turut bercerita mengenai kepayahan bagi menghasilkan single terbaharunya ini.

"Agak lama menghasilkan lagu ini kerana saya ingin membawakan sesuatu kelainan yang dapat memuaskan hati para peminat apabila mendengar.

"Rakaman dibuat di Jakarta, dan apabila saya pulang ke Malaysia, saya berasa tidak puas hati dan kembali ke Jakarta bagi menghasilkan semula rakaman video lagu itu," katanya.

Mengulas perkembangan terbaharu dirinya, Atilia berkata, menginjak usia 50-an, dia berada di fasa pramenopaus dan sedang mempersiapkan diri menghadapi fasa berkenaan.

Sebelum ini, Atilia memaklumkan fasa pramenopaus memberi perubahan kepada hidupnya sehingga mudah berasa penat selepas sehari suntuk.

"Saya jadi moody, mahu bangun pagi susah kerana saya tak sangkakan dah nak go through menopaus ni. Sekarang tengah pramenopaus jadi saya pergi ke klinik ambil ubat Hormone Replacement Treatment (HRT)," katanya.

Mengambil kekuatan untuk menangani isu itu, Atilia memilih untuk melakukan senaman yoga bagi menjaga kesihatan badannya.

"Saya sudah mula membuat latihan yoga sejak 30 tahun lalu," katanya yang turut bergelar guru yoga sejak 10 tahun lepas.

Selebriti berusia 49 tahun ini turut berkata, dia banyak memperuntukkan masanya untuk menjadi guru yoga di Yoga Want That I Want Studios yang beroperasi di Petaling Jaya dan Damansara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram