Bijak bercakap, personaliti Fimie Don buat rakan selebriti introvert selesa


  • Hiburan
  • Ahad, 08 Okt 2023

Fimie bersama rakan gandingannya, Ikmal Amry dalam siri terbaharu yang ditayangkan di Viu Original bermula 21 September.

MEMILIKI personaliti menarik dan bijak bermain kata-kata, pelakon dan penyanyi Fimie Don, 25, membuatkan rakan selebriti yang bersifat introvert selesa untuk bekerjasama.

Tidak dinafikan, Fimie yang sudah menapak lama dalam industri seni lakonan itu mempunyai perwatakan yang cukup disenangi ramai.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Fimie mengaku sifat ekstrovert yang ada dalam dirinya membuatkan dia jarang sekali untuk berfikir secara mendalam sebelum berkata-kata.

"Pada pendapat saya, saya banyak bercakap jadi orang yang banyak bercakap ini jarang berfikir. Tapi bukan bermakna saya tidak berfikir langsung.

"Jadi, saya rasa orang yang banyak menyimpan ini pula adalah sebab mereka rasa seperti bercakap itu tidak perlu," katanya.

msg1050426791-17124

Fimie (kanan) bersama barisan pelakon lain ketika mempromosikan drama terbaharu di Suria FM.

Bukan hanya bercakap kosong, Fimie juga mendedahkan bahawa dia gemar berkongsi pengalaman dengan rakan selebriti yang agak pasif sebagai salah satu cara untuk mendapatkan keserasian dalam lakonan.

Katanya, Ikmal Amry juga merupakan salah seorang rakan yang memberikannya banyak input yang berguna sepanjang bergandingan bersama dalam drama terbaharunya.

"Bila saya dapat peluang untuk bercakap dengan Ikmal Amry, banyak juga perkara yang saya belajar dan banyak juga kita berkongsi ilmu dan pendapat sebenarnya.

"Setiap perbualan kami ada input yang berguna terutama dari segi perkahwinan, anak dan cara saya untuk membawakan sesuatu watak ketika berlakon.

"Jadi, perbualan itu bukan sesuatu yang membuang masa dan saya memang sangat suka perkara itu apabila bersembang dengan Ikmal," katanya kepada Majoriti.

Tanpa segan silu, Ikmal turut mendedahkan bahawa dirinya bukanlah seorang yang introvert sehingga tidak boleh bercakap tetapi hanya ada sifat pemalu dalam diri.

"Saya bukan di tahap yang tidak boleh bercakap atau tidak boleh berjumpa dengan orang, saya hanya pemalu.

"Tetapi bila saya jumpa orang yang ekstrovert seperti Fimie, saya rasa selesa sebab dia yang buka mulut dan menegur saya dahulu," katanya.

Fimie yang sering dibayangi watak kanak-kanak kini tampil dengan karakter yang lebih dewasa dan matang dalam siri terbaharu Viu Original iaitu From Saga With Love bermula 21 September. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram