Sokongan keluarga, peminat penguat semangat Amir Masdi selama 7 tahun dalam industri hiburan


  • Hiburan
  • Rabu, 11 Okt 2023

Amir Masdi yang sedang aktif menjalankan jelajah album di beberapa negeri sejak Julai lalu.

PEJAM celik, rupanya sudah tujuh tahun Amir menempah nama sebagai anak seni dan penyanyi solo terkenal di Malaysia.

Penyanyi yang kian melonjak naik, Amir Masdi mendedahkan bahawa sokongan keluarga menjadi tunjang utama sepanjang karier nyanyiannya dalam industri hiburan tempatan.

Amir atau nama sebenar Amir Syazwan Masdi, 27, itu juga memberitahu bahawa keluarganya merupakan antara rezeki terindah yang dimilikinya sepanjang melalui perjalanan kariernya itu.

"Keluarga saya memang dari hari pertama lagi sampai sekarang memang mereka sokong. Ada beberapa konsert mereka datang sokong yang kadang-kadang saya pun tak tahu.

msg1050426791-17362

Amir Masdi ketika mempromosikan jelajah album sulungnya di Suria FM pada Selasa.

"Sebagai contoh, masa saya tengah buat persembahan tiba-tiba ternampak ibu dan adik di bawah pentas. Jadi bagi saya, ia adalah satu rezeki yang sangat besar sebab sokongan dan doa daripada keluarga ini adalah antara yang paling kuat," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Amir juga sempat berkongsi tentang pencapaian terbesarnya dan kenangan manis sepanjang tujuh tahun bergelar sebagai penyanyi.

"Pencapaian saya paling besar adalah bersama pihak pengurusan kali ini sebab mereka memang sejak hari pertama sehingga saat ini sangat bekerja keras.

"Daripada tiada apa-apa sehingga nampak progress (kemajuan) dan banyak juga pencapaian yang kami target (sasar) dapat dicapai, saya bangga dengan mereka," tambahnya.

Disoal tentang strateginya untuk mengekalkan prestasi yang dimilikinya kini, Amir mengaku ia bergantung dengan sikap dan cara seseorang itu melakukan sesuatu kerja.

"Saya rasa untuk kekalkan prestasi yang saya ada sekarang, tidak kira dalam kerjaya apa pun, kita sebagai manusia kena suka dan cinta dengan kerja yang kita lakukan.

"Itu sedikit sebanyak akan menghasilkan kerja yang ikhlas maka orang akan suka dan kita sendiri pun akan selesa. Selain itu, saya rasa disiplin, sentiasa merendah diri dan ingat di mana kita berada kerana tidak selamanya kita akan berada di atas," katanya.

Selain itu, jelajah album yang sedang berjalan menjadi buah tangan kepada peminat Amir Masdi juga merupakan antara pencapaian terbesarnya.

"Ini merupakan antara momen yang saya tak boleh lupa kerana ia salah satu impian terbesar saya terutamanya dapat meluangkan masa dengan peminat.

"Ia sangat istimewa, walaupun mereka sudah berjumpa saya di konsert sebelumnya, mereka tetap datang di hari lain juga untuk beri sokongan dengan tenaga yang sangat luar biasa," kongsinya.

Dalam sibuk menguruskan kerjayanya, Amir Masdi sempat meluahkan bahawa masa yang ada untuk bersama keluarganya sangat dihargai walaupun hanya sekejap.

Dalam pada itu, juara program realiti, Akademi Fantasia (AF) 2016 itu juga kini sedang aktif menjalankan siri jelajah albumnya di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Melaka dan Labuan baru-baru ini.

Menurutnya, terdapat beberapa lagi lokasi menjadi tumpuannya yang masih dalam perancangan iaitu Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak atau Singapura untuk konsert jelajah albumnya itu.

Tidak dapat dinafikan, bukan mudah untuk menjayakan sesebuah konsert namun, Amir mengaku segala halangan dan cabaran dapat dihadapinya dengan lancar.

"Jadi harapan saya agar album kali ini akan dapat berikan kegembiraan kepada semua yang sokong selama ini kerana ia adalah hasil karya dan produk yang besar daripada Amir Masdi sendiri

"Jika ada album yang seterusnya, saya harap ia akan terus menjadi motivasi atau pemangkin semangat untuk saya teruskan kerjaya saya dalam industri ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram