Lebih 3,000 pengunjung banjiri konsert penutup Suriavolusi di Kota Bharu


  • Hiburan
  • Selasa, 31 Okt 2023

Seramai lebih 3,000 hadir memeriahkan siri jelajah konsert Suriavolusi yang berlangsung di KB Mall, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu lalu.

SIRI jelajah konsert Suriavolusi yang melabuhkan tirainya di Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu lalu mendapat sambutan mengagumkan apabila menarik lebih 3,000 pengunjung.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau Dj Lin berkata, dia sangat terharu dengan sambutan hebat ditunjukkan warga Kelantan yang hadir memeriahkan acara yang berlangsung di pusat beli-belah, KB Mall.

“Suriavolusi telah berakhir dengan cukup meriah di Kelantan walaupun terdapat beberapa syarat dan sekatan oleh pihak kerajaan negeri yang perlu dipatuhi.

"Mewakili Suria FM, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu, Bandar Raya Islam atas kerjasama yang diberikan.

"Terima kasih juga buat semua pengunjung yang hadir dan sudi meluangkan masa berhibur sambil menyumbang menerusi Tabung Cakna Palestin di lokasi akhir Suriavolusi,” katanya.

Konsert bermula seawal pukul 10 pagi itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan mewarna kanak-kanak dan penyerahan sumbangan sebanyak RM 7,000 kepada beberapa badan organisasi.

Antara mendapat sumbangan itu ialah Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Darul Mizan, Masjid Al-Ridhuan Kubang Kerian dan Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia.

DSC09910

Azlan and The Typewriter merupakan antara artis tampil menghiburkan ribuan pengunjung yang hadir di konsert Suriavolusi di Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu lalu.

Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan dari barisan artis tanah air seperti Azlan and The Typewriter, Aju Success, Halim Yazid & Dikir Barat dan Renggo Arrow!.

Lebih menarik, Suriavolusi di Kelantan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah.

Hadir sama Presiden Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia, Abdul Shakur yang memeriahkan acara dengan perkongsian dan pendedahan mengenai misi bantuan diberikan kepada di buat rakyat Palestin.

Dalam pada itu, DJ Lin berkata, dia bersyukur kerjasama bersama AC Gas berjaya memudahkan pelaksanaan siri konsert Suriavolusi yang diadakan.

"Ia sangat bermakna dan satu kelainan yang Suria FM tonjolkan kerana ianya merupakan sebuah konsert berteraskan pelanggan dan dibuat khas untuk AC Gas.

"Semoga lebih banyak jalinan kerjasama di masa mendatang," ujarnya.

Dalam pada itu, berita baik buat peminat Suria FM di Melaka, anda berpeluang menemui penyampai berita Suria FM, Cik Piah dan Suria Wheels di Aeon Melaka, Ayer Keroh, Melaka pada Rabu.

Pelbagai hadiah menarik menanti mereka yang hadir dengan orang ramai turut boleh menyaksikan acara tersebut menerusi siaran langsung di TikTok Suria Malaysia, pada pukul 12.30 tengah hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram