Enam kepala Floor 88 cetuskan karya sarkastik, sarat nasihat


  • Hiburan
  • Selasa, 31 Okt 2023

Floor 88 antara kumpulan penyanyi yang sering menghasilkan lagu-lagu penuh nasihat dengan elemen sarkastik. — Instagram/Suria FM

SERING menghasilkan lagu-lagu yang enak dan seronok didengar di halwa telinga, kumpulan Floor 88 sememangnya diminati ramai termasuk golongan kanak-kanak.

Lagu-lagu Floor 88 seperti Hutang, 24434, Roadblock Hatiku dan Aqilah tanpa sedar sebenarnya bukan sekadar karya sia-sia namun penuh dengan unsur positif di sebaliknya.

Bagi Zai Hamzah atau lebih mesra dipanggil Achoi yang bertindak sebagai gitaris, setiap lagu dihasilkan juga mempunyai maksud tersirat yang berbentuk nasihat kepada pendengar.

"Jika dahulu kami sudah cipta lagu-lagu cinta, tetapi lama-kelamaan kami hasilkan lagu yang boleh beri moral baik, jadi apa salahnya untuk teruskan?

msg1050426791-18206

Floor 88 ketika ditemui selepas melakukan persembahan konsert Suria Volusi di The Curve, Damansara, Selangor pada Sabtu.

"Sebenarnya lagu-lagu kami ini sangat dekat dengan masyarakat dan kami ini kiranya secara tidak langsung menyampaikan lagu yang mempunyai moral tersendiri serta ada unsur-unsur sarkastik yang lebih ke arah nasihat," katanya kepada Majoriti.

Bukan itu sahaja, Floor 88 juga mengaku bahawa setiap daripada mereka memberi sumbangan dengan melontarkan idea-idea yang cukup bernas dalam menghasilkan sesebuah lagu.

Floor 88 yang dianggotai oleh Ayie (vokalis) Eric Fuzi (keyboard), Achoi (gitar pertama), Falique (bass), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua) tidak boleh disangkal lagi mempunyai kehebatan tersendiri.

Menurut Eric, tiada sebarang perbalahan teruk yang berlaku walaupun setiap orang mempunyai cita rasa muzik yang berbeza.

"Jika diikutkan, idea-idea lagu sebenarnya daripada kami semua, cuma sudah diolah kerana kami ada enam 'kepala' dan masing-masing ada idea bernas.

"Disebabkan masing-masing sudah faham hala tuju Floor 88, jadi tiada percanggahan sangat sebab masing-masing ada cita rasa muzik masing-masing.

"Tetapi, jika idea itu tidak dimainkan dalam kumpulan ini, kami akan gunakan di platform lain juga sebagai hobi atau sebagainya," jelasnya.

Tambahnya, daripada segi sokongan peminat pula, Floor 88 turut memahami visi dan sasaran dalam memasarkan lagu-lagunya tersebut.

msg1050426791-18207

Floor 88 yang tidak pernah mengecewakan dalam memberi persembahan mengagumkan.

Pada masa sama, kata Ayie, mereka menghasilkan lagu mengikut permintaan ramai dan bersyukur kerana berhasil memberi impak kepada pendengar.

Pada masa sama, vokalis itu juga berharap agar Floor 88 terus kekal relevan dan cuba berusaha selagi boleh bertahan dalam industri muzik.

"Saya harap Floor 88 akan kekal relevan sampai bila-bila dan kami akan berusaha selagi mana boleh berada di tengah-tengah.

"Jadi, kami pun mengharapkan doa-doa daripada semua peminat untuk terus mendoakan keberadaan kami dalam industri ini dan kekal sehingga bila-bila.

Eric turut mencelah dengan mengharapkan agar mereka berenam terus menjalinkan persahabatan yang baik dan bersekufu bersama untuk terus berkarya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram