Gabungan Suria FM, ERA catat sejarah The Malaysia Book of Records


  • Hiburan
  • Isnin, 23 Okt 2023

Gabungan dua stesen radio Suria FM dan ERA catat sejarah The Malaysia Book of Records pada Isnin.

STESEN radio Suria FM dan ERA berjaya meraih pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBR) sebagai ‘Kolaborasi Rangkaian Radio Silang Pertama untuk Menyiarkan Siaran yang Sama Secara Serentak’ menerusi penjenamaan ERA Suria, Disini Segalanya Terkini diinspirasikan oleh CelcomDigi.

Sejarah tercipta menerusi gabungan segmen pagi ‘Morning Morning Suria’ dan ‘3 Pagi ERA’ kelolaan Ajak, Shuib, Suraya, Nabil, Azad dan Radin yang bersiaran secara langsung pada 23 Oktober (Isnin) dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi dengan membincangkan topik ‘Dulu Kawan, Sekarang Lawan dan Dulu Lawan, Sekarang Kawan’.

Majlis penyampaian sijil rasmi The Malaysia Book of Records itu telah disampaikan oleh Penolong Pengurus Pemasaran MBR, Jeska Seah, Perunding Rekod Kanan MBR, Siti Hajar Binti Johor kepada Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) dan Pengurus Kandungan ERA, Hani Fadzil dengan bersaksikan lebih 170,000 penonton sekali gus berjaya meraih sebanyak 4.3 juta likes di siaran langsung TikTok Suria Malaysia dan ERA.

msg1050426791-17858

Segmen pagi ‘Morning Morning Suria’ dan ‘3 Pagi ERA’ bersama Ajak, Shuib, Suraya, Nabil, Azad dan Radin yang bersiaran secara langsung pada 23 Oktober.

“Mewakili Suria FM, kami sangat bersyukur dan gembira di atas pengiktirafan daripada MBR pada Isnin menerusi gabungan dua segmen pagi di Suria dan ERA.

"Kami abadikan pengiktirafan ini sebagai sebuah sejarah dalam industri radio Malaysia kerana ia merupakan satu konsep dan landskap baharu dalam industri radio tanah air.

"Mudah-mudahan ia mampu memberi inspirasi kepada penggiat industri radio yang lain untuk mengambil pendekatan yang sama mungkin dalam cara yang berbeza untuk terus memeriahkan industri ini agar terus berkembang maju," kata DJ Lin.

Katanya, diharapkan melalui jalinan kerjasama bersama ERA, mampu menghasilkan satu perpaduan yang lebih utuh dan semoga lebih banyak kolaborasi pada masa mendatang.

msg1050426791-17859

DJ Lin (duduk, tengah) dan Hani Fadzil bersama rakan seperjuangan dua stesen radio terkemuka di Malaysia.

Bukan itu sahaja, Suria FM juga dikatakan akan terus memberi sokongan kepada segala inisiatif baik yang mampu memberikan impak positif kepada masyarakat khususnya buat para pencinta radio.

"Sekali lagi, kami amat berbesar hati dan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ERA atas jalinan kerjasama baik ini," tambahnya.

Sementara itu, Pengurus Kandungan ERA, Hani Fadzil berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan mereka dan berharap kolaborasi ERA dan Suria FM itu terus menjadi perintis dalam mengubah landskap audio tempatan.

"Terima kasih juga diucapkan kepada MBR atas pengiktirafan yang diberikan dan diharap semua rakyat Malaysia dapat menikmati pilihan radio yang pelbagai dan relevan daripada kami," katanya.

Maklumat lanjut, layari laman web Suria suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia:

Instagram: suriamalaysia l Facebook: @SuriaMalaysia l TikTok: @suriamalaysia l Youtube: SuriaTV l X: @suria_malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram