Adira dan Khai Bahar letak prioriti untuk keluarga dahulu, baru kerjaya


  • Hiburan
  • Ahad, 22 Okt 2023

Pasangan duet, Khai Bahar (kiri) dan Adira Suhaimi tetap utuh menjaga komitmen masing-masing meskipun aktif dalam dunia hiburan.

KELUARGA antara komponen dan amanah terpenting dalam hidup semua individu yang perlu dijaga selagi nyawa dikandung badan.

Tidak terkecuali juga dengan pasangan duet selebriti tempatan iaitu Adira Suhaimi dan Khai Bahar yang meletakkan sepenuhnya komitmen terhadap keluarga masing-masing dahulu sebelum fokus terhadap kerjaya seni masing-masing.

Walaupun bergelar seorang ibu kepada empat orang anak yang masih kecil, Adira, 32, tidak menafikan bahawa pengurusan masa adalah sangat penting.

msg1050426791-17832

Adira Suhaimi ketika ditemui di Suria FM pada Khamis.

Katanya, perkara yang paling penting untuk membahagi masa dengan baik adalah dengan berkomunikasi dengan semua pihak.

"Saya rasa untuk pembahagian masa perlu adanya komunikasi yang baik dengan semua pihak termasuk pihak pengurusan, guru sekolah anak dan banyak lagi.

"Saya kena lengkapkan persediaan mereka dan paling penting perlu pastikan anak-anak siap dahulu baru saya boleh fikir untuk urusan kerja.

"Tapi sebenarnya anak dan kerjaya, kedua-duanya sangat penting, namun yang diutamakan dahulu adalah anak-anak," katanya kepada Majoriti.

Bukan itu sahaja, Adira juga mendedahkan bahawa dia juga sama seperti para ibu yang lain dan mempunyai fasa-fasa dalam menempuhi cabaran menguruskan anak, namun pada masa yang sama aktif bernyanyi.

Jumlah anak sangat memainkan peranan kerana menurutnya, anak yang pertama mengajarnya untuk membiasakan diri dalam menangani masalah atau stres.

"Masa awal-awal dahulu memang agak susah, tetapi bila sudah bertambah cahaya mata, Alhamdulillah jadi lebih mudah untuk menguruskan mereka kerana kita sudah belajar banyak perkara daripada pengalaman pertama," tambahnya.

Dalam pada itu, pasangan duet yang bukan calang-calang hebatnya, Khai Bahar, 29, turut berkongsi tentang pengalamannya mengutamakan ibunya yang kini sedang menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir.

msg1050426791-17831

Khai Bahar selepas mempromosikan terbaharu bersama Adira di Suria FM pada Khamis.

Kerjaya dan aktiviti seharian yang sibuk bukanlah penghalang bagi Khai atau nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin kerana sanggup berulang-alik menjenguk ibunya di Perlis jika ada masa terluang.

"Keadaan ibu saya sekarang pun masih on off, walaupun ada juga ahli keluarga yang lain tetapi saya pun kadang-kadang ulang-alik ke Perlis juga jika ada masa terluang untuk jenguk ibu di sana.

"Dari segi jadual kerja pula, saya cuba untuk imbangkan dan jika ada jadual yang kosong atau yang sudah diubah, maka saya akan balik. Jadi tidaklah saya terlalu lama sangat tidak pulang," jelasnya.

Untuk perkembangan terbaharu, Khai juga mendedahkan bahawa dia sekarang sedang fokus menguruskan perniagaan tudung jenamanya sendiri iaitu Khairose.

msg1050426791-17829

Poster lagu terbaharu berjudul Pejam gandingan Adira dan Khai Bahar.

Dalam pada itu, Adira dan Khai yang bergabung dalam lagu terbaharu berjudul Pejam itu juga kini giat melakukan promosi di samping menaikkan lagi namanya dalam seni hiburan tanah air.

Tanpa ragu-ragu juga, pasangan duet tersebut sempat memuji kehebatan masing-masing dalam bidang nyanyian yang sekali gus membuatkan mereka bersependapat untuk berduet bersama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram