Lantaklah popularkan XONE, tak anggap Dolla sebagai saingan


  • Hiburan
  • Isnin, 23 Okt 2023

Kumpulan XONE menganggap persaingan dengan kumpulan lain sebagai satu pujian untuk tampil lebih kreatif.

PENYANYI meningkat naik, kumpulan XONE terdiri daripada Ellya Keesha dan Nelysa Kay baru-baru ini tular dengan lagu pertama mereka berjudul Lantaklah.

Namun, terdapat pula segelintir peminat cuba membandingkan duo itu dengan kumpulan lain selepas melihat video muzik yang dikeluarkan.

Melangkah ke dunia hiburan tidak semudah disangka, terpalit dengan sesuatu kontroversi merupakan antara hal yang menjadi kebiasaan.

XONE juga tidak terkecuali apabila ada yang membandingkan mereka dengan kumpulan Dolla selepas melihat masing-masing memasukkan elemen vokal dan tarian dalam persembahan muzik.

WhatsApp Image 2023-10-19 at 9.03.11 PM

Ellya dan Nelysa berkawan sejak kecil dan menubuhkan kumpulan bernama XONE.

Bagaimanapun, Ellya Keesha dan Nelysa Kay, masing-masing berusia 20 tahun menerima kata-kata itu dari sudut positif.

"Kami penyanyi baharu, jadi bila dibandingkan dengan kumpulan lain, kami anggap ia sebagai satu pujian, kerana kumpulan Dolla terdiri daripada ahli yang memiliki bakat luar biasa.

"Bersaing itu memang lambat lagi, cuma kami berharap mampu capai apa kejayaan yang kumpulan itu sudah capai.

“Jadi, kami tidak menganggap perbandingan sebagai perkara negatif, malah kami cukup berbesar hati kerana berkongsi ruang yang sama dengan kumpulan hebat seperti Dolla,” katanya.

Baru-baru ini, lagu XONE yang dikeluarkan berjudul Lantaklah telah mendapat sambutan di luar jangkaan selepas mampu meraih 1 juta tontonan hanya dalam masa tiga minggu dimuat naik di laman YouTube.

Gembira dengan jumlah yang dicapai, mereka menganjurkan sambutan untuk meluangkan masa bersama peminat menerusi acara Lantaklah Lepak Xession.

XONE, kini dalam proses merancang beberapa lagu untuk dikeluarkan kerana mengetahui ramai peminat ternanti-nanti sesuatu yang baru dilancarkan oleh kumpulan itu.

WhatsApp Image 2023-10-19 at 9.05.19 PM

Ellya dan Nelysa aktif dalam bidang tarian sejak kecil.

Bercerita mengenai latar belakang karier seni masing-masing, Ellya Keesha dan Nelysa Kay memberitahu, mereka terlibat dalam bidang tarian sejak berumur lapan tahun.

Ellya dan Nelysa yang bersahabat baik sejak kecil mula mempelajari tarian tradisional ketika mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara.

Mereka malah mengikuti pembelajaran tarian moden bersama-sama di luar sekolah yang menyebabkan kedua-dua gadis itu terbiasa dengan dunia tarian sehingga kini.

Memandangkan tarian lagu Lantaklah pernah tular menerusi laman TikTok, kumpulan XONE sempat memberi tip bagi memperkemaskan rentak tarian kepada peminat di luar sana.

"Yang paling penting perlu yakin dengan diri sendiri supaya apabila menari kita berasa seronok dan tidak gugup.

"Siapa yang mahu menari perlu sentiasa praktis tarian supaya makin lama makin bagus.

"Jaga diri supaya tidak stres juga mampu membuatkan tarian nampak cantik dan kemas," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram