SEORANG pemimpin seharusnya mempunyai perilaku baik dan sikap yang boleh diteladani.
Ini kerana, setiap tingkah laku mereka termasuk tutur kata yang dilontarkan akan sentiasa diperhatikan dan dihakimi.
Lebih parah, tutur kata yang kurang sopan itu boleh dijadikan sebagai senjata musuh, selain menjadi asbab mereka turun naik mahkamah untuk satu tempoh yang lama.
Baru-baru ini juga, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegur ahli-ahli Parlimen supaya tidak menggunakan perkataan sensitif seperti kafir, zionis dan Yahudi untuk merujuk mana-mana Ahli Parlimen sepanjang perbahasan di Dewan Rakyat.
Mereka turut dilarang mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana, menyentuh sensitiviti keharmonian dan bersifat saling melabel.
Beliau tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan sekiranya isu dan perkataan dimaksudkan itu dibangkitkan lagi pada masa hadapan.
Johari dalam pemahsyurannya turut membangkitkan beberapa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang melarang mana-mana Ahli Parlimen menggunakan perkataan atau penyataan yang tidak bersesuaian.
Antaranya, Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) mengenai penggunaan perkataan menimbulkan perasaan sakit hati atau bermusuhan antara kaum di Malaysia.
Sebenarnya, jika diperhatikan, bukan sekali dua kita dengar tentang ahli Parlimen saling 'melabel' sesama mereka semasa persidangan berlangsung.
Selain kafir, zionis dan Yahudi, berikut Majoriti senaraikan tiga lagi perkataan atau frasa yang pernah buat satu Dewan Rakyat 'panas':
1) Bung Mokhtar - F*** you
Datuk Seri Bung Mokhtar Radin pernah menggemparkan Parlimen gara-gara perkataan 'f*** you' yang dikeluarkannya pada Ogos 2018.
Memetik laporan portal tempatan, kejadian bermula apabila Willie Mongin (PH-Puncak Borneo) bangkit mencelah ucapan Bung Mokhtar mengenai harga barang di pasar borong Selayang, Selangor yang tidak turun selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan.
“Saya ke Pasar Borang Selayang dan melihat harga barang waktu GST rendah,” kata Bung Mokhtar.
Willie kemudian bangkit mencelah dengan menyebut perkataan kasino merujuk kepada tempat hiburan yang dilawati Bung Mokhtar.
“Bukan pergi kasino ke Kinabatangan,” kata Willie.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu menyifatkan Willie kurang ajar dan meminta kenyataan itu ditarik balik.
“Biadab, kurang ajar, ini kena tarik balik. Ini biadab Yang Dipertua, dia kurang ajar dan tak layak duduk sini, samseng, what you want, you nak gaduh dengan saya,” kata Bung Mokhtar dalam keadaan marah.
Su Keong Siong (PH-Kampar) kemudian bangkit mencelah dan menjelaskan bahawa kenyataan Willie adalah satu pertanyaan.
“Tanya saja,” katanya.
Bung Mokhtar kemudian bangun dan berkata, “F*** you! Kau salah orang,” kata Bung Mokhtar, namun tidak dipastikan ia dituju kepada wakil rakyat mana.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu bagaimanapun sudah membuat permohonan maaf atas perbuatannya yang menggunakan perkataan kurang sopan pada persidangan Dewan Rakyat.
2) RSN Rayer - kepala bapak
Rayer (kanan) pernah menggunakan perkataan ‘kepala bapak’ ketika berucap di Dewan Rakyat pada 2018.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pernah menggunakan perkataan ‘kepala bapak’ ketika berucap di Dewan Rakyat didakwa dituju kepada pimpinan BN kerana gagal membela kebajikan anggota polis tahun 2018.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut merupakan yang terbesar di Pulau Pinang di mana anggota polis menggunakan kipas angin kerana penghawa dingin telah rosak tidak diperbaiki sejak lima tahun lalu kerana tidak ada wang.
“Tapi isteri Pekan (Datin Seri Rosmah Mansor) masih boleh mengimport intan dan berlian masuk ke Malaysia tanpa GST, anggota polis yang kawal keselamatan di Malaysia tidak diberi perhatian, kononnya BN membela anggota polis dan tentera ‘kepala bapak' mereka,” kata Rayer ketika bangkit mencelah ucapan pergulungan titah Agong oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Azis Jamman.
Kenyataan itu sekali gus menimbulkan ketegangan dan kemarahan pimpinan BN yang berada di dalam dewan.
Bekas Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dengan tegas mendesak perkataan ‘kepala bapak’ itu ditarik balik.
Bagaimanapun Rayer kemudian mempertahankan tindakannya dengan mengatakan Ahli Parlimen Pekan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak juga pernah melakukan perkara sama.
“Saya hanya ikut Pekan, saya tidak akan tarik balik,” katanya.
3) Tajuddin - Go To Hell
Ahli Parlimen Pasir Salak ketika itu, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pernah bertikam lidah dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat pada 29 Mac 2018.
Situasi tegang bermula apabila Tajuddin mengetuai penyokong BN menyindir ahli Parlimen pembangkang semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Palsu.
Muhyiddin pada ketika itu sedang menyuarakan persoalan mengenai kes penyelewengan dana 1MDB melibatkan Najib serta mempertikaikan undang-undang negara.
Tajuddin yang dibenarkan menyampuk menegaskan tentang keperluan mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerajaan Malaysia.
“Beliau (Muhyiddin) membangkitkan tuduhan terhadap perdana menteri dalam siasatan. Undang-undang yang mana Malaysia ada? Biarkan undang-undang negara berjalan. Adakah kita membiarkan ini berlaku?”
"Saya hormati awak. Jangan buat saya hilang rasa hormat pada awak. Go to hell," katanya merujuk kepada tuduhan yang dibuat Muhyiddin.
Sidang dewan menjadi kecoh dengan menyaksikan Tajuddin dan beberapa ahli Parlimen saling memekik antara satu sama lain.
4) Tajuddin - 'Kok'
Tajuddin pernah mengeluarkan kenyataan berbaur seksis yang ditujukan terhadap Teresa Kok pada 2016.
Sebelum insiden Go To Hell, Tajuddin pernah menghangatkan radar di Parlimen berhubung kenyataan berbaur seksis yang ditujukan terhadap Teresa Kok pada 2016.
Beliau didakwa menyebut Ahli Parlimen Seputeh itu sebagai 'satu-satunya wanita dengan Kok'.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) mengenai usaha kerajaan bagi memartabatkan pengeluaran padi tempatan agar lebih bermutu daripada padi import.
Sebelum menjawab soalan berkenaan, Tajuddin menyimpang dan menyifatkan himpunan mengganggu orang awam berikutan polis terpaksa menutup jalan, sebelum Timbalan Speaker Datuk Roland Kiandee ketika itu meminta Tajuddin agar menjawab soalan tambahan.
Tajuddin kemudian menegur Teresa, "Seputeh kekeke (ketawa) kenapa? Satu-satunya wanita yang mempunyai "Kok" adalah di Parlimen Seputeh," katanya.
Kenyataan itu lantas mengundang reaksi dan kemarahan beberapa ahli Parlimen pembangkang yang bangkit untuk menegur tindakan Tajuddin dan mendesak supaya Timbalan Speaker mengambil tindakan dan meminta Tajuddin menarik balik kenyataan berkenaan.
Beliau bagaimanapun menafikan membuat kenyataan itu dengan menyatakan bahawa beliau hanya merujuk kepada nama keluarga ahli Parlimen berkenaan.
Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu turut mendakwa media seolah-olah tidak berlaku adil kepadanya kerana memberikan gambaran berat sebelah tentang kejadian berkenaan.
Beliau mengakui tidak gentar dengan publisiti negatif yang dilemparkan kepadanya kerana dia tahu, ramai wanita terutamanya di kawasan Pasir Salak yang menyayangi dirinya.
5) Khalid Samad - Sial
Khalid Samad antara individu yang bangkit menegur Tajuddin yang mengeluarkan kenyataan tidak sopan dalam sidang Dewan Rakyat.
Susulan kenyataan tidak senonoh yang dikeluarkan Tajuddin terhadap Teresa Kok, Ahli Parlimen Shah Alam ketika itu, Khalid Samad antara individu yang bangkit menegur tutur kata pemimpin tersebut.
Disebabkan tiada tindakan diambil ke atas Tajuddin atas dasar perkataan 'Kok' merujuk kepada nama keluarga Teresa, Khalid Abdul Samad kemudian bangun dan memanggil Tajuddin 'sial'.
Ia berbalas dengan Tajuddin mencabar Khalid agar keluar untuk 'menyelesaikan' perkara itu secara bersemuka dan menggunakan perkataan 'sial' di luar Parlimen jika berani.
Khalid ketika itu memberitahu bahawa beliau hanya akan menarik balik perkataan 'sial' sekiranya Tajuddin menarik balik kenyataannya terhadap Teresa.
"Biarpun bersongkok, tetapi perangai dan bahasanya (Tajuddin) adalah satu sikap yang langsung tidak berakhlak dan tidak melambangkan budaya Melayu.
"Kata-katanya memang layak mendapat gelaran 'menteri sial' kerana tindakannya itu sudah melampaui batas," katanya dalam sidang media.
Tajuddin menyifatkan komen Khalid sebagai fitnah, manakala dua media terbabit pula disaman kerana menerbitkan kenyataan itu.
Mahkamah bagaimanapun berpandangan kontroversi dalam kes itu bermula dari ucapan seksis Tajuddin dalam prosiding Parlimen terhadap Teresa, yang disifatkan sebagai tidak wajar dan 'mencemarkan institusi Parlimen'.
Tajuddin juga tiada keperluan untuk mengungkapkan perkataan kesat terhadap pemimpin wanita itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram