OTAI masih berbisa, itulah gelaran seharusnya diberikan kepada Aris Ariwatan, 58, penyanyi rock balada terkenal tanah air sejak 1990-an lagi.
Aris yang sudah melebarkan legasinya selama hampir 33 tahun dalam industri hiburan itu tidak memandang populariti sebagai keutamaan sepanjang bergelar penyanyi.
Katanya, perkara tersebut bukanlah misi utama yang harus dikejarkan untuk bertahan dalam industri seni malah amat mementingkan isi dan mesej yang hendak disampaikan kepada peminat.
Aris Ariwatan yang menyampaikan lagunya dengan penuh bertenaga di konsert Suri Volusi pada Sabtu.
"Saya memilih untuk lebih memberi manfaat kepada pendengar dan ia tidak bermaksud penyanyi lain tidak bagus.
"Tetapi prinsip itu saya kekalkan sehingga sekarang kerana saya tidak pandai nak sensasi dan saya jauhkan diri daripada perkataan 'popular' malah tidak tahu pun tentang perkataan itu.
"Yang saya tahu, saya hanya menulis dan menyampaikan apa yang terbaik, itu sahaja," katanya kepada Majoriti.
Menurut Aris atau nama sebenar Harris Fadzillah Daud, dia sudah menetapkan prinsip yang teguh dalam dirinya untuk menghasilkan lagu yang memberi impak positif kepada para pendengar.
Aris ketika ditemui selepas selesai melakukan persembahan.
"Dalam penglibatan pertama saya menyanyi, memang saya pastikan setiap lagu yang saya sampaikan mempunyai mesej yang positif dan baik untuk peminat saya.
"Makanan jiwa seperti lagu Permaidani, 1234 dan lagu lain memberi kesan positif kepada generasi saya.
"Saya akan membekalkan santapan makanan jiwa yang lebih positif. Itulah prinsip saya," tambahnya.
Tidak terlepas daripada mengikuti perkembangan semasa, Aris juga berkongsi pendapatnya tentang pentingnya untuk terus bersolidariti bersama Palestin ketika ini.
Baginya, doa yang tidak pernah putus merupakan antara perkara yang mampu dilakukan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam saat-saat genting di Palestin.
"Secara peribadinya, saya hanya mampu berdoa dan bersedekah untuk membantu saudara-saudara Islam kita di Palestin itu," katanya.
Dalam perkembangan terbaharu, Aris juga memberitahu bahawa sebanyak tiga buah lagu yang sudah disiapkannya iaitu Bangkit Hero Malaya, Qolbun Salim dan satu lagi yang masih dalam pembikinan bersama sebuah kumpulan di Ipoh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram