Pertama kali dua stesen radio bergabung, Suria FM-Era bersiaran serentak Isnin


  • Hiburan
  • Jumaat, 20 Okt 2023

Suria FM dan Era bakal bergabung dalam siaran secara serentak menerusi segmen Morning Morning Suria dan 3 Pagi ERA bermula pada pukul 6 pagi hingga 10 pagi Isnin. 

DUA buah stesen radio yang tidak asing lagi di telinga pendengar, Suria FM dan Era bakal membawa kelainan apabila bergabung buat kali pertama dan bakal bersiaran serentak pada Isnin.

Buat julung kalinya, sejarah baharu itu bakal tercatat dalam Malaysia Book of Records bagi kategori dua buah stesen radio berkolaborasi secara serentak.

Gabungan itu bakal dibuat menerusi dua buah segmen pagi iaitu Morning Morning Suria dan 3 Pagi ERA bermula pukul 6 pagi hingga 10 pagi Isnin.

Kedua-dua stesen radio ini menjenamakan gabungan ini sebagai 'Era Suria, Di Sini Segalanya Terkini' dengan menjanjikan hiburan radio tanpa batas.

DSC00729

Penyampai radio Suria FM dan Era bergabung dalam dua segmen iaitu Morning Morning Suria dan 3 Pagi ERA.

Segmen itu bakal menampilkan gandingan hebat penyampai radio iaitu Ajak, Shuib, Suraya, Nabil, Azad dan Radin.

Pelbagai topik menarik dan pilihan lagu bertemakan duet juga bakal menghiburkan pendengar menerusi dua segmen pagi itu.

DSC01013

DJ Lin berasa kerjasama ini mampu meningkatkan hubungan silaturahim antara dua buah stesen radio yang berbeza.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) berkata, gabungan ini bermula ketika pihak Astro menghubunginya bagi menjalinkan kerjasama antara radio Era dan Suria FM.

DJ Lin berkata, meskipun sebagai sebuah stesen radio swasta, Suria FM bersaing dari segi ranking dan jumlah pendengar, tetapi gabungan ini satu pendekatan yang baik kerana mampu memupuk jalinan silaturahim di antara dua buah jenama radio yang berbeza.

"Wow, waktu dihubungi itu, saya terus jatuh cinta dengan apa yang pihak Astro suarakan.

"Pihak Suria FM menerima perkara ini dengan sangat terbuka kerana saya sendiri sudah berada dalam industri radio malaysia selama 24 tahun.

"Jadi saya ada rasa cinta yang sangat mendalam kepada industri radio di Malaysia untuk melihat wujud satu kemajuan dan perkembangan secara sihat dalam industri ini," katanya pada Jumaat.

DJ Lin turut berharap industri radio lebih aktif dengan mewujudkan lebih banyak kolaborasi bersama-sama selepas ini.

"Saya rasa ini satu permulaan wujudnya satu kerjasama dengan lebih banyak lagi stesen radio lain selepas ini.

"Kerana pihak Suria FM sangat terbuka, bukan sahaja dengan Era, malah kami berharap terjalin kerjasama dengan stesen radio lain seperti RTM dan sebagainya selepas ini.

"Industri radio di Malaysia juga sebenarnya sangat kecil, pergi ke mana-mana kita akan jumpa orang yang sama, jadi sangat baik kalau program bersama-sama dipertingkatkan," katanya.

DSC00833

Hani Fadzil teruja mampu bekerjasama dengan Suria FM.

Dalam pada itu, Pengurus Kandungan Era, Hani Fadzil berkata, dia sangat gembira mampu menjayakan kolaborasi bersama Suria FM.

"Kami juga ingin mempamerkan persaingan sihat di antara jenama radio dengan berkongsi nilai dan matlamat yang sama, seperti CelcomDigi.

"Jadi kami percaya bahawa Era dan Suria FM akan Gagah Bersama.

"Meskipun kolaborasi ini menggabungkan dua jenama dari latar belakang yang berbeza, kami percaya bahawa perkara utama yang penting di penghujung hari nanti adalah kandungan dan pengisian yang disampaikan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram