POLIS menahan seorang wanita warga Filipina dan seorang lelaki rakyat tempatan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia di pulau bebas cukai Labuan.
Ketua Polis Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, mereka diberkas Jumaat lepas di pusat bandar di Labuan, setelah polis menerima panggilan kecemasan daripada Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur.
"Kedutaan dihubungi dua wanita Filipina yang berjaya melarikan diri dari lokasi mereka ditempatkan dan meminta diselamatkan,” katanya pada Ahad.
Mohd Hamizi berkata, satu pasukan daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) segera menyerbu sebuah pusat hiburan di Labuan.
"Mereka berjaya menyelamatkan lima wanita Filipina berumur antara 25 hingga 33 tahun yang dipercayai mangsa pemerdagangan manusia dan dipaksa bekerja di pusat hiburan itu,” katanya.
Beliau berkata, Mahkamah Majistret membenarkan tahanan reman selama enam hari mulai pada Ahad hingga Sabtu depan ke atas dua individu itu untuk siasatan lanjut.
Kedua-dua individu itu disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imegresen 1559/63.
Mohd Hamizi menggesa orang ramai untuk berkongsi sebarang maklumat mengenai kejadian jenayah atau aktiviti penyeludupan manusia dengan polis sebagai usaha untuk membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram