Kos kemoterapi cecah RM250,000, Chef Wan selami perasaan pejuang kanser menerusi kempen Pink October


  • Massa
  • Isnin, 25 Sep 2023

Chef Wan mendedikasikan usaha memerangi kanser menerusi kempen Pink October kepada Allahyarham ibunya, Cik Ani.

CEF selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan secara rasmi telah melancarkan kempen Pink Oktober di rangkaian restoran butik miliknya, Chef Wan Group of Restaurant (CWGR) pada Isnin.

Kempen ini dijalankan bagi meningkatkan kesedaran terhadap penyakit kanser payudara.

"Kami berharap dapat memberi sokongan emosi kepada mereka yang berjuang penyakit kanser dan memperoleh inspirasi untuk terus hidup dengan kehidupan yang lebih sempurna," katanya yang berusia 65 tahun.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Cancer Research Malaysia (CRMY), Andy Khoo.

Selain itu, jelas Chef Wan, kempen ini juga dilancarkan bagi memperoleh dana bagi tujuan penyelidikan kanser.

"Sebanyak 20 peratus daripada hasil jualan daripada tempahan minum petang akan didermakan kepada penyelidikan kanser.

"Kempen ini akan menampilkan apron peringatan dan beg tote yang direka khas berharga RM58 setiap satu dan 50 peratus daripada hasil jualan akan disumbangkan untuk penyelidikan kanser," katanya.

chefwan2

KEMPEN Pink October berlangsung dari 25 September hingga 31 Oktober

Bercakap soal itu, Chef Wan turut mendedahkan kos tinggi bagi merawat penyakit kanser yang dialaminya.

"Kos keseluruhan bagi proses kemoterapi saya di sebuah hospital swasta mencecah RM250,000," katanya.

Bagaimanapun, Chef Wan bersyukur kerana dia tidak perlu menanggung kos tersebut disebabkan sudah membuat caruman insurans sejak berusia 24 tahun.

“Saya gembira sebab 100 peratus kos perubatan saya dibiayai oleh syarikat insurans.

"Sejak berusia 24 tahun saya sudah mencarum insurans dan sepanjang saya dimasukkan ke hospital sebelum ini pun, kos ditanggung oleh pihak mereka.

“Bayangkan kalau batuk demam pun sudah cecah kos RM7,000 ke RM8,000 (masuk wad), inikan pula melibatkan jumlah puluhan ribu. Jadi bila kita sakit, hati rasa lega dan lapang. Kos bayar premium tahunan pun tidaklah terlalu banyak berbanding kos yang perlu ditanggung semasa sakit,” katanya.

chefwan3

SEBANYAK 20 peratus daripada hasil jualan daripada tempahan minum petang kempen Pink October akan didermakan kepada penyelidikan kanser

Sebagai pejuang penyakit kanser, Chef Wan sendiri dapat memahami perasaan orang lain berdasarkan perspektif dan pengalaman peribadi beliau.

Chef Wan pada 3 Ogos lalu memaklumkan bahawa dia disahkan menghidap kanser limfoma dan kini masih menjalani rawatan.

Malahan, Allahyarham ibunya, Cik Ani juga menderita sakit sama.

Mengambil kisah penderitaan yang ibunya pernah alami, Chef Wan terdorong untuk meletakkan harapan tinggi dan berjuang melawan kanser.

"Cik Ani tidak pernah berputus asa dan bertekad untuk melawan kanser sepanjang hayatnya. Ini memberi saya harapan dan inspirasi dalam perjuangan saya sendiri terhadap kanser," katanya.

Chef Wan turut menyeru agar semua pihak bersatu dalam memerangi penyakit kanser. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram