'Sibukkan diri bekerja', klien AADK bangkit ubah jalan hitam hingga jadi tauke kambing perap


Mohd Radzi menceritakan pengalamannya ketika terjerumus ke dalam najis dadah.

SIAPA sangka seorang individu yang pernah terjerumus ke lembah najis dadah akhirnya berjaya mengeluarkan hasil produk makanannya sendiri.

Bekas klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Mohd Radzi, 39, berjaya keluar daripada penagihan dadah selepas mendapat rawatan di agensi itu selama dua tahun pada 2018.

Mohd Radzi yang berasal dari Tanjong Karang, Selangor berkata, episod hitam dalam hidupnya bermula pada 2001 gara-gara keinginan untuk kekal bertenaga ketika bekerja sebagai tukang masak di beberapa hotel terkemuka di Shah Alam.

WhatsApp Image 2023-09-23 at 16.19.47

Mohd Radzi pernah bergelumang dengan najis dadah sebelum bangkit menjadi usahawan berjaya.

Tambahnya, dia terfikir untuk mengambil dadah jenis syabu itu kerana ingin kekal bertenaga sepanjang hari lebih-lebih lagi jika perlu bekerja lebih masa.

Jika tidak berbuat demikian, ia akan membuatkan dia hanya mampu bertahan untuk tidak tidur selama dua hari sahaja.

"Pada 2001, waktu itu, saya berumur 21 tahun dan merupakan seorang tukang masak di sebuah hotel. Saya ambil syabu atas faktor kerja yang memerlukan tenaga untuk bekerja lebih masa sehingga 24 jam.

"Namun saya tidak mengambil secara harian sebaliknya hanya ambil ketika diperlukan sahaja terutama ketika melakukan kerja-kerja berat dan memenatkan," katanya kepada Majoriti.

Mohd Radzi berkata, najis dadah juga merupakan punca keruntuhan rumahtangganya bersama isteri pertama pada tahun 2003 yang mana lebih menyedihkan apabila dikurniakan seorang cahaya mata.

Dia membuat pilihan untuk berkahwin semula pada 2010 dan dikurniakan lima orang cahaya mata, namun sekali lagi tewas apabila dia berpatah balik ke jalan yang gelap atas faktor pekerjaan pada 2018.

WhatsApp Image 2023-09-23 at 16.19.46

Antara produk yang dikeluarkan oleh Radzi.

Mohd Radzi berkata, titik permulaan untuk kembali ke pangkal jalan apabila dia jatuh sakit ketika bekerja di bazar Ramadan di Tanjong Karang.

"Mungkin ALLAH ingin tunjukkan kebesaran-Nya apabila saya pengsan semasa bekerja," ceritanya.

Disebabkan itu, Radzi dibawa ke Hospital Tanjong Karang dan pihak hospital mendapati dia positif dadah selepas menjalani beberapa pemeriksaan di hospital tersebut.

Menurutnya, selepas kejadian itu, dia terlibat dengan program rawatan dan pemulihan dengan AADK bertempat di AADK Daerah Kuala Selangor selama dua tahun dari tahun 2018 hingga 2020.

Kini, perniagaan ternakan lembu dan kambing Radzi sudah semakin maju dengan mempunyai 70 ekor lembu dan 20 ekor kambing di ladang belakang kedainya di Kampung Sungai Kajang, Tanjong Karang.

Bekas klien AADK itu menambah, dia tidak melakukan perniagaan tersebut secara seorang diri kerana mendapat bantuan daripada abangnya.

Kata Radzi, permintaan kambing perapnya boleh mencecah sehingga empat kambing biri-biri atau bersamaan dengan RM10,000 seminggu.

WhatsApp Image 2023-09-23 at 16.19.48

Lokasi perniagaan yang dijalankan oleh Radzi.

Perniagaan Mohd Radzi bukan sahaja mengeluarkan produk kambing perap malah terdapat enam produk yang dihasilkan antaranya daging segar, sejuk beku, kambing golek, katering, kuih-muih, palas dan santan sejuk beku.

Bukan itu sahaja, banyak anugerah yang diraih sepanjang menjalankan perniagaan kambing perap dengan salah satunya adalah Anugerah Pencapaian Ladang Terkemas.

Jelas Mohd Radzi lagi, permintaan terhadap produk kambing perapnya mendapat sambutan tinggi secara dalam talian hingga dia memutuskan untuk meneruskan perniagaannya di platform itu.

Baginya, menjadi seorang bekas penagih dadah bukanlah penghalang buatnya untuk berjaya dalam perniagaan mahupun hidup.

Setelah mendapatkan rawatan di AADK Daerah Kuala Selangor, Mohd Radzi semakin bersemangat meneruskan perjuangan hidup serta menasihati kawan-kawan klien yang lain agar menyibukkan diri dengan bekerja agar tidak mengambil najis itu lagi.

“Saya cakap dekat kawan-kawan klien, pergilah cari orang kampung yang ada tanah, kerja dengan mereka. Tinggalkan dadah tu dan sibukkan diri dengan bekerja,” ujarnya.

Untuk pengetahun pembaca, AADK merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menjadi agensi peneraju membanteras penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di Malaysia yang meliputi Pendidikan Pencegahan, Penguatkuasaan Dan Keselamatan, Rawatan, Perubatan Dan Pemulihan dan Hubungan Antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram