BARU-BARU ini penyanyi, Baby Shima menjadi bahan bualan warganet ekoran dia pergi melawat kubur datuknya yang bukan beragama Islam pada pagi pertama Aidilfitri lalu.
Menerusi ruangan komen, ada yang mengecam tindakan Baby Shima kerana menganggap dia tidak menghormati bulan Syawal dan ada juga yang memaklumkan bahawa tindakan itu tidak salah.
Baby Shima juga mengakui yang dia sudah bertanya kepada mereka yang lebih arif sebelum pergi melawat kubur datuknya.
Sering menjadi mangsa kecaman netizen, Baby Shima berkata, dia sebenarnya akan membaca setiap komen yang berbaur kecaman yang ditinggalkan di ruangan komen media sosialnya.
"Memang saya baca semua komen negatif yang ditinggalkan lagi-lagi bila saya terkait dengan sesuatu isu dan sebagainya.
"Saya akui memang saya sakit hati bila baca. Saya baca sebab saya nak tahu berapa ramai yang tak suka saya sebenarnya," katanya kepada Majoriti.
Tangkap layar video yang memaparkan Baby Shima melawat kubur datuknya pada pagi Syawal.
Namun menurut Baby Shima, bila difikirkan sebenarnya mereka yang membenci saya ini tidak mengganggu kerjayanya pun malah rezekinya semakin melimpah ruah.
Jelasnya, di awal pembabitannya dalam kerjaya seni memang dia sangat terkesan dengan setiap komen negatif yang ditinggalkan.
"Tapi sekarang saya dah tak rasa apa-apa pun. Sebab apa sahaja komen negatif yang mereka tinggalkan sikit pun tak beri kesan kepada diri dan kerjaya saya," katanya.
Dalam pada itu, Shima berkata, pembukaan semula pintu sempadan negara juga memberinya peluang untuk kembali aktif di Indonesia.
Tambahnya, jadual seninya di Indonesia juga sudah ditetapkan dan akan mula bekerja semula seminggu selepas Aidilfitri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram