Bukan Syed Saddiq perlu letak jawatan, tapi Ahli Parlimen PH — KJ


  • Politik
  • Khamis, 14 Sep 2023

KJ (kiri) mengulas isu gesaan penyokong dan pemimpin PH terhadap Syed Saddiq agar mengosongkan kerusi Parlimen Muar.

BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mempertikai gesaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya mengosongkan kerusinya di Muar pada Rabu.

Menerusi segmen podcast, Keluar Sekejap antara KJ bersama bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ tidak bersetuju dengan gesaan Angkatan Muda Keadilan terhadap Syed Saddiq.

Menurutnya, bukan Syed Saddiq yang harus keluar tetapi, Ahli Parlimen PH sendiri yang perlu meletakkan jawatan dan meminta kembali mandat pengundi.

"Yang kena letak jawatan dan minta balik mandat daripada pengundi adalah PH kerana melanggar janjinya kepada rakyat.

“Syed Saddiq adalah ahli Parlimen yang jujur dengan dasar platform PH, iaitu tidak bekerjasama dengan Umno dan Zahid Hamidi.

"Sebab mereka (Ahli Parlimen PH) kata Syed Saddiq menang atas sokongan undi daripada PH. Basis argument ini sebab Syed Saddiq menang atas kerana pengundi di Muar menyokong PH," katanya.

Selain itu, KJ menambah bahawa hanya Syed Saddiq seorang yang bersikap jujur sebagai Ahli Parlimen dengan polisi platform PH.

"Hujah saya, patut Ahli-Ahli Parlimen PH letak jawatan bukan Syed Saddiq, sebab Syed Saddiq Ahli Parlimen yang jujur dengan polisi platform PH.

"Iaitu tidak bekerjasama dengan Umno dan Zahid Hamidi. Tiada siapa ingat manifesto PH, orang undi PH pada PRU lepas kerana Hoi Hoi Ya Hoi, lagu Altimet.

"Jadi Syed Saddiq seorang sahaja ini yang masih berpegang kepada prinsip tolak Hoi Hoi Ya Hoi, yang lain semua Hoi Hoi Ya Hoi," tambahnya lagi.

Isu Syed Saddiq timbul apabila Ahli Parlimen Muar itu membuat keputusan menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dan bergerak sebagai kuasa ketiga.

Presiden Muda itu bertindak demikian sebagai tanda protes terhadap tindakan Jabatan Peguam Negara membebas tanpa melepaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terhadap 47 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Susulan itu, Syed Saddiq juga mengutuskan surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk berada di blok pembangkang.

Kerusi Syed Saddiq telah dipindahkan ke blok pembangkang di bahagian belakang tanpa diapit ahli Parlimen lain pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram