Selepas 6,992 hari bertunang, Michelle Yeoh sah bergelar isteri bekas CEO Ferrari


  • Hiburan
  • Jumaat, 28 Jul 2023

Michelle (kanan) bersama suaminya Todt selamat berkahwin di Geneva, Switzerland pada Khamis. — Instagram/ @massafelipe

PERJALANAN cinta antara dua insan selepas mengikat pertunangan selama hampir dua dekad berakhir apabila pelakon, Tan Sri Michelle Yeoh kini sah bergelar isteri kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ferrari, Jean Todt di Geneva, Switzerland pada Khamis.

Khabar gembira itu dimuat naik oleh bekas pelumba F1 Felipe Massa menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya pada Jumaat memaparkan dirinya bersama kedua mempelai itu selepas majlis bersejarah itu.

Dalam hantaran tersebut, Michelle, 60 tampil menawan dalam gaun berwarna beige, manakala Todt menggayakan suit biru gelap dalam majlis kecil itu.

Hantaran sama turut memaparkan sekeping kad yang menceritakan kisah permulaan cinta mereka berdua bermula pada awal pengenalan di Shanghai pada Jun 2004.

michelle2

Sekeping kad menunjukkan perjalanan pengenalan Michelle dan Todt. — Instagram/ @massafelipe

"Pada 26 Julai 2004, Todt melamar Michelle dan dia berkata ya.

"Hari ini (Khamis) selepas 6,992 hari pada 27 Julai 2023 di Geneva, dikelilingi ahli keluarga tersayang dan rakan-rakan, kami gembira dapat meraihkan saat indah ini bersama-sama," jelas kad tersebut.

Michelle menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Oscar ke-95 pada Mac lalu.

Todt pula ialah seorang tokoh terkenal dalam dunia sukan permotoran dan F1 yang menguruskan Ferrari (bersama pengarah teknikal Ross Brawn dan pemandu Michael Schumacher) ke beberapa gelaran kejohanan dunia.

Beliau kemudiannya menjadi presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) sehingga 2021. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram