KEJADIAN kerasukan makhluk halus atau jin yang dikatakan memasuki ke dalam tubuh manusia merupakan insiden yang boleh dikatakan tidak asing dalam kalangan masyarakat.
Ketika membincangkan perkara tersebut, terdapat pelbagai pandangan yang muncul mengulas mengenai fenomena berkenaan.
Ia termasuk perspektif yang mengatakan bahawa kejadian seumpama itu antara lain mempunyai kaitan terhadap tahap kesihatan mental seseorang.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, manusia sememangnya boleh terdedah kepada gangguan makhluk halus seperti jin dan syaitan.
Beliau berkata, kejadian itu boleh dalam pelbagai cara sama ada secara langsung melalui sentuhan fizikal ataupun sebaliknya.
Namun, beliau menegaskan, perkara tersebut hanya boleh terjadi disebabkan kelemahan seseorang manusia itu sendiri terutamanya daripada segi kekuatan rohani.
"Dia (mangsa) kerasukan disebabkan makhluk halus seperti jin dan ini semua memang boleh berlaku. Tapi perlu diingatkan, makhluk-makhluk halus ini memang langsung tidak ada kuasa langsung terhadap manusia.
"Jadi kerasukan ini terjadi kadang-kadang antaranya kerana manusia itu sendiri merasakan yang jin itu lebih hebat dan mengalah kepada makhluk selain manusia," katanya kepada Majoriti.
Mohamad Sabri mengakui terdapat kawasan tertentu yang sememangnya menjadi tempat tumpuan makhluk halus. — Gambar hiasan
Dalam pada itu, Mohamad Sabri turut mengakui terdapat tempat dan kawasan tertentu yang mana berkemungkinan menjadi tempat makhluk halus seperti di kawasan hutan dan tempat yang jarang dikunjungi orang ramai.
Katanya, tempat-tempat yang mempunyai lubang seperti di kawasan parit dan sebagainya juga menjadi antara tempat yang menjadi perhatian makhlus halus.
"Jadi dekat situ mungkin ada makhluk dia yang kita tidak nampak sampai terlanggar dan sebagainya.
"Perkara itu diterukkan lagi dengan kekuatan rohani individu tersebut juga tidak berapa kukuh sehingga memudahkannya untuk dirasuk," ujarnya.
Sehubungan itu, Mohamad Sabri berkata, adalah penting untuk setiap umat Islam untuk sentiasa melengkapkan diri pendinding melalui amalan zikir untuk mengukuhkan kekuatan rohani.
"Bila kita sebut kekuatan rohani ini, macam bomoh itu, dia hanya boleh berusaha untuk merawat kita dari luaran. Tapi sebenarnya kita sendiri kena ada kekuatan dalaman dan bukan bergantung kepada bomoh atau orang lain.
"Sebab itu kita nak pergi mana-mana pun sepatutnya kita kena berzikir dan doa untuk lindungi diri daripada gangguan makhlus halus yang tidak diingini," ujarnya.
Katanya, dua zikir asas harian boleh dilakukan adalah dengan melazimi diri membaca Al-Fatihah dan selawat selain turut membaca ayat Kursi setiap kali selepas solat Maghrib serta Subuh.
"Surah Al-Fatihah dan selawat itu sendiri dah satu kekuataan sebenarnya walaupun nampak ringkas. Kita tak tahu manfaatnya sebab kebaikannya itu benda ghaib.
"Tapi kalau kita sentiasa amalkan setiap hari, amalan itu akan mengukuhkan perlindungan diri daripada gangguan luar seperti makhlus halus itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram