Pamer elemen unik, karya digital 'Atma Kirana' beri wajah baharu dalam industri seni 


  • Hobi
  • Khamis, 07 Sep 2023

Abdul Shakir atau Grasshopper, artis multimedia yang menghasilkan karya seni digitalnya iaitu 'Atma Kirana' yang bermaksud jiwa yang indah.

KARYA seni digital 'Atma Kirana' yang dihasilkan oleh seorang artis multimedia, Abdul Shakir atau dikenali sebagai 'Grasshopper' memberi kelainan dalam pamerannya kali ini di Balai Seni Negara pada Khamis.

Menerusi pameran Hanya Satu ini, Abdul Shakir yakin karya seni digitalnya ini mampu mendapat penerimaan positif oleh masyarakat.

"Seni itu sendiri perlu dekat dengan masyarakat jadi, pendekatan seni digital sangat berkait rapat dengan dunia sekarang," katanya kepada Majoriti.

Bagi mengelakkan suasana bosan dalam kalangan pengunjung yang sekadar mengambil gambar, Abdul Shakir juga mengambil kesempatan untuk memberi pendedahan dan kesedaran tentang pentingnya cerita di sebalik sesebuah seni.

msg1050426791-16409

Karya 'Atma Kirana' yang dipamerkan di lobi Balai Seni Negara, Kuala Lumpur bermula sembilan Ogos sehingga 30 Oktober 2023.

"Sebagai contoh, selain saya pamerkan hasil seni ini sahaja, saya juga mahu menceritakan maksud di sebaliknya yang mungkin akan membuatkan masyarakat belajar sekali gus memberi refleksi dalam kehidupan mereka," katanya.

Menariknya tentang seni digital ini, Abdul Shakir berkata bahawa ia lebih fleksibel dan tidak akan kekal statik kepada bentuk yang asal.

"Dari segi motif, elemen dan penceritaan masih sama, tetapi dari segi teknikalnya boleh diubah suai mengikut kesesuaian tempat pameran itu tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Shakir turut berharap kemampuan seni digital yang dihasilkannya dapat diperluaskan ke tempat yang lain.

"Kalau saya dapat pamerkan karya 'Atma Kirana' ini di luar negara, semestinya saya akan kekalkan dan sampaikan kisah tentang negara sendiri kepada mereka," tambahnya lagi.

Sementara itu, dia turut berharap agar industri seni boleh lebih terbuka untuk menerima banyak pendekatan lain selain daripada yang selalu ditunjukkan dalam sesuatu penghasilan seni.

"Seni adalah penghasilan sebuah cerita, tidak kira ia sempurna atau tidak, asalkan ia menceritakan sesuatu, itu adalah seni," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram