SEBAGAI manusia, tentu sahaja kita tidak terhindar daripada krisis. Akan tetapi, krisis yang ditangani dengan baik akan dapat menghindarkan seseorang daripada perkara-perkara negatif. Oleh itu, apakah krisis itu sebenarnya?
Krisis boleh didefinisikan sebagai satu proses yang bermula apabila satu pihak menganggap bahawa pihak lain telah atau akan menggugat kepentingan dirinya.
Ia merangkumi dua jenis krisis iaitu antara individu dan dalam kumpulan.
Berdasarkan saranan daripada makalah 'Senior management teams in schools: An initial picture' tulisan Stott dan Walker pada 1992, ia menggariskan tiga jenis krisis iaitu krisis diri, krisis antara manusia atau interpersonal dan krisis pasukan.
Krisis interpersonal berlaku akibat sumber yang tidak mencukupi, percanggahan pendapat dan persepsi atau tersalah anggap. Maka, krisis interpersonal berlaku apabila terdapatnya hubungan manusia terutamanya apabila mereka perlu berkomunikasi dan bekerja bersama untuk mencapai matlamat yang sama tetapi berlainan peranan, tanggungjawab dan keperluan.
Terdapat empat punca yang menjadi sebab timbulnya sesuatu krisis iaitu tidak setuju dengan sesuatu maklumat atau tujuan; tidak setuju dengan cara melakukan tugas; tidak setuju dengan suatu keterangan atau fakta dan tidak setuju dengan nilai atau pendapat seseorang.
Sementara itu, krisis pasukan pula merujuk krisis dalam kumpulan ketika menjalankan tugas. Sebagai contoh, krisis yang tercetus dalam suatu jawatankuasa kerja di pejabat atau organisasi disebabkan percanggahan pendapat tentang perbelanjaan atau cara mengurus sesuatu projek.
Ada juga krisis pasukan yang tercetus disebabkan sikap tidak menghormati ketua sesuatu projek sehingga menyebabkan ramai ahli jawatankuasa yang berlagak seperti ketua. Ketua 'bidan terjun' ini lazimnya memberi arahan yang tidak sepatutnya.
Perkara seumpama ini tentu sahaja mencetuskan krisis pasukan sehingga sesuatu projek menghadapi masalah. Oleh itu, krisis pasukan perlu dititikberatkan dan diurus dengan baik demi kebaikan dan peningkatan prestasi pasukan serta organisasi.
Sehubungan itu, krisis interpersonal berlaku disebabkan stres, iaitu suatu keadaan tekanan mental dan fizikal yang disebabkan kemahuan dalaman dan luaran seseorang.
Krisis didefiniskan sebagai satu proses yang bermula apabila satu pihak menganggap bahawa pihak lain telah atau akan menggugat kepentingan dirinya. — Gambar hiasan
Bagaimanapun, stres itu sendiri terbahagi kepada dua iaitu positif dan negatif. Stres positif membantu seseorang untuk menumpu, memberi fokus untuk mencapai matlamat dan prestasi yang maksimum manakala stres negatif pula boleh menyebabkan seseorang menjadi terdesak hingga berlaku kemerosotan fizikal seperti sakit kepala atau sakit jantung.
Jadi apa pilihan kita? Hidup dengan stres yang berpanjangan atau mengurus stres tersebut?
Sehubungan itu, meskipun setiap manusia akan mengalami krisis, kesemua yang berlaku itu hadir dengan had dan batasnya.
ALLAH SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang berbunyi:
“ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat (pahala) dari (kebajikan) yang dikerjakannya dan dia mendapat (siksa) dari (kejahatan) yang diperbuatnya. (Mereka berdoa), “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami melakukan kesalahan. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebani kami dengan beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami memikulnya. Maafkanlah kami, ampunilah kami, dan rahmatilah kami. Engkaulah pelindung kami, maka tolonglah kami menghadapi orang-orang kafir.”
Bebanan krisis adalah berbeza bagi setiap individu bergantung kepada cara mereka mempersepsi dan menanganinya.
Krisis merupakan satu keadaan yang berlaku tanpa diramal dan menyebabkan individu dalam keadaan terganggu dan bercelaru. Selain itu, krisis berlaku apabila keseimbangan psikologi manusia terganggu dan mekanis memenangani masalah tidak mampu membawa semula individu kepada keadaan normal.
Individu yang mengalami krisis juga akan menunjukkan respons perasaan seperti apati (tidak mempedulikan), murung, rasa bersalah, kebimbangan yang melampau dan rasa kacau bilau dalam diri mereka.
Selain itu, seseorang individu juga akan turut mengalami simptom seperti terlampau berwaspada, gangguan tidur dan menarik diri daripada terlibat dalam aktiviti harian akibat daripada krisis dialami.
Stres terbahagi kepada dua iaitu positif dan negatif. — Gambar hiasan
Seterusnya, krisis itu juga bakal menyebabkan kehilangan harga diri yang menyebabkan individu terbabit menilai diri secara negatif dan tidak realistik.
Oleh yang demikian, krisis perlu diurus dengan baik bagi mencapai keseimbangan. Untuk tujuan tersebut, sesebuah organisasi boleh memainkan peranan berikut:
a) Membentuk program mentor mentee di tempat kerja, iaitu mentor merupakan pembimbing dalam kalangan staf senior, manakala mentee ialah individu yang mengalami krisis.
b) Mentor perlu menasihati dan membantu mentee memahami konflik yang sedang dihadapi dan melengkapkan mentee dengan strategi untuk menangani sendiri konflik tersebut.
c) Mentor yang dilantik perlu mahir dalam kemahiran mendengar, menyoal/menggunakan soalan terbuka, memberi keyakinan, menjelaskan sesuatu isu, meneroka masalah, menggalakkan komunikasi, membimbing, memperjelas dan mentafsir isu yang menyebabkan krisis mentee.
d) Kaunselor organisasi juga boleh memainkan peranan untuk menjelaskan kedudukan individu atau pihak yang mengalami tekanan atau konflik melalui penerokaan perasaan, pendengaran, rumusan dan perbincangan secara terbuka.
e) Majikan perlu lebih empati terhadap staf atau pekerja yang sedang menghadapi krisis, iaitu dengan memberi sokongan non material seperti kata-kata semangat.
Dalam pada itu, antara strategi lain boleh digunakan untuk mengatasi krisis berpanjangan adalah dengan cara memuhasabah diri.
Pada ketika ini, kita sering mendengar istilah 'healing' digunakan secara meluas. 'Healing' adalah suatu keadaan apabila individu yang menghadapi krisis melakukan ativiti lain yang boleh mententeramkan jiwanya. Apabila jiwa tenteram, sudah pasti suatu krisis dapat diselesaikan dengan baik.
Aktiviti 'healing' digunakan sebagai terapi kerana terapi minda dan fizikal amat perlu dalam menghadapi dan menangani krisis. — Gambar hiasan
Penulis sendiri juga pernah mengamalkan cara 'healing' itu dalam menangani krisis serius yang dihadapi.
Aktiviti 'healing' berkenaan digunakan sebagai terapi kerana terapi minda dan fizikal amat perlu dalam menghadapi dan menangani krisis.
Antara kebaikan 'healing' ialah:
i) Muhabasah diri dan fikirkan secara rasional langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi. Jika perlu, catatkan langkah-langkah tersebut.
ii) Berkongsi masalah yang dihadapi dengan seseorang yang boleh dipercayai untuk mendapat saranan dan cara menyelesaikannya
iii) Hindari individu atau kumpulan yang negatif. Pilih circle yang boleh dipercayai dan menenangkan.
iv) Jalankan langkah menyelesaikan masalah satu persatu. Pilih langkah yang lebih penting dahulu. Jika perlu dapatkan nasihat pakar seperti peguam.
v) Sentiasa pujuk dan tenteramkan diri sendiri agar terus tabah dan rasional.
vi) Amalkan aktiviti kerohanian yang berterusan, iaitu solat wajib, solah sunat, berwirid, menghadiri majlis ilmu, bersedekah dan membantu orang lain.
vii) Lakukan hobi yang digemari dengan rakan-rakan misalnya, jungle trekking, mendaki gunung, bercuti, menulis dan menjalankan projek kajian sebagai usaha 'healing' dalam mengurus krisis. Setiap individu mempunyai cara 'healing' mereka sendiri.
viii) Sentiasa yakinkan diri bahawa setiap krisis ada jalan penyelesaiannya. Dalam hal ini hindarkan omongan orang lain yang negatif.
ix) Apabila sesuatu krisis telah berjaya diatasi, bersyukur dan berjanji dengan diri sendiri untuk menghindari krisis yang sama pada masa hadapan.
Sesungguhnya bahawa setiap perkara dialami oleh seseorang individu dalam hidupnya adalah berbeza daripada pengalaman orang lain.
Maka, dalam usaha menangi krisis, jangan pernah ada perasaan menyesal atau menyalahkan diri sendiri. Sentiasa berfikiran positif dan berpegang kepada pepatah Inggeris l "We are what we think".
Jika kita berfikiran positif maka itulah hasilnya yang akan kita peroleh dan begitulah sebaliknya!. — Majoriti
Profesor Madya Dr Faridah Nazir merupakan Pensyarah Kanan di Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Hub Pendidikan Pagoh, Muar, Johor.
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram