Dari Bukit Payas ke Dubai, penternak kelulut tak sangka produk tembusi pasaran antarabangsa


  • Hobi
  • Selasa, 11 Jul 2023

Mohd Sufian tidak menyangka ternakan kelulut yang dibuat secara suka-suka kini boleh menjana pendapatan lumayan. — Bernama

BERMULA sekadar hobi, seorang pekerja syarikat makanan, Mohd Sufian Mat Nor, kini mampu menjana pendapatan lumayan melalui ternakan kelulut yang diusahakan di Kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu, Terengganu.

Lebih membanggakan produk keluarannya berjaya menembusi pasaran Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan Singapura dengan bantuan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Mohd Sufian, 47, berkata, beliau mula mengusahakan ternakan kelulut pada 2015, bermula dengan satu sarang kelulut yang dibeli daripada rakan sekampung.

"Pada awalnya saya saja suka-suka beli log (sarang) kelulut dan letak depan rumah di Bukit Besar. Selepas dapat tuai hasil, rasa lebih bersemangat untuk tambah sarang dan dapat lebih hasil," katanya ketika ditemui di Galeri Madu Kelulut Bukit, Kuala Terengganu, Terengganu.

Mohd Sufian berkata, pada awal pembabitannya, industri ternakan kelulut negara masih di peringkat awal dan tidak ramai yang berminat mengusahakannya.

Bagaimanapun, beliau mengambil risiko dengan membeli 20 sarang kelulut dan diletakkan di kawasan rumah sebelum ditambah kepada 100 sarang dan ditempatkan di lot tanah yang disewa berdekatan rumahnya.

"Namun ketika itu saya berdepan ujian apabila 30 sarang musnah akibat serangan lalat hitam.

"Kerugian waktu itu sekitar RM30,000, tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus kekal dalam bidang ini," katanya.

KUALA TERENGGANU, 11 Julai -- Pengusaha, Mohd Sufian Mat Nor, 47, menunjukkan produk madu kelulut ketika ditemui di Galeri Madu Kelulut Bukit hari ini.Bermula dengan hobi, Mohd Sufian, pekerja syarikat makanan kini mampu menjana pendapatan lumayan melalui ternakan kelulut yang diusahakan di Kampung Bukit Bayas di sini.Lebih membanggakan produk keluarannya itu berjaya menembusi pasaran Dubai dan Singapura dengan bantuan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Mohd Sufian menunjukkan produk madu kelulut ketika ditemui di Galeri Madu Kelulut Bukit, Kuala Terengganu, Terengganu. Bernama

Menurut Mohd Sufian, beliau kemudian mendapatkan bantuan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk mengembangkan ternakan dan berjaya beroleh geran Agropreneur berjumlah RM20,000.

Dengan geran itu, Mohd Sufian mendapatkan tapak baharu di Bukit Bayas dan membuka Galeri Madu Kelulut Bukit pada 2019 untuk dibangunkan sebagai pusat ternakan dan kawasan ekopelancongan.

Selain mengusahakan ternakan sendiri, Mohd Sufian turut dilantik oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Terengganu sebagai mentor kepada pengusaha ternakan kelulut di daerah ini.

Bagi membantu pengusaha ternakan kelulut, beliau turut membeli madu daripada mereka untuk dijual ke pasaran tempatan dan luar negara.

"Ini cara saya membantu komuniti kelulut kerana ramai antara mereka hanya tahu menternak tetapi tidak ada saluran untuk memasarkan produk.

"Terbaharu saya dilantik oleh syarikat anak negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Bhd untuk menjadi mentor kepada 20 peserta yang terdiri daripada golongan miskin tegar," katanya yang mengeluarkan sebanyak 300 kilogram madu di pasaran setiap bulan. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram