[VIDEO] Belum sempat sentuh Messi, penyokong obses kena 'headlock' dengan abang sado


  • Podium
  • Selasa, 05 Sep 2023

Tangkap layar ketika pengawal Messi menahan sambil memegang leher berkenaan penyokong itu. — Agensi

SKUAD Inter Miami yang dianggotai bintang dunia, Messi kembali beraksi pada Ahad apabila mereka menewaskan Los Angeles FC (LAFC) dalam pertembungan Liga Bola Sepak Major (MLS), Amerika Syarikat.

Kelab yang berpangkalan di Florida itu menewaskan pasukan pelawat 3-1 di Stadium BMO dengan menyaksikan Facundo Faroas, Jordi Alba dan Leonardo Campana masing-masing menjaringkan gol.

Bintang dari Argentina itu tidak menjaringkan gol namun bekas pemain Paris Saint Germain (PSG) tersebut mencatatkan dua hantaran bantuan cemerlang untuk membantu Alba dan Campana.

Sebilangan besar selebriti dan orang kenamaan hadir untuk menyaksikan pemenang Ballon d'Or tujuh kali itu dan antaranya ialah Putera Harry, LeBron James, Will Ferrell serta pendendang lagu Love You Like a Love Song, Selena Gomez.

Perlawanan tersebut juga turut dicemari dengan insiden kontroversi apabila seorang penyokong cuba mendekati Messi dengan turun ke padang perlawanan untuk berjumpa bekas pemain Barcelona itu.

Menerusi video tular, penyokong yang menyarungkan baju Barcelona dengan nama dan nombor Messi di bahagian belakang bertindak memecut ke padang permainan pada minit ke-73 perlawanan.

Ketika dia menghampiri pemain berusia 36 tahun itu, pengawal peribadinya, Yassine Chueko memecut dan berjaya menahan sambil memegang leher berkenaan sebelum menyeretnya pergi dari padang.

Chueko turut menyelamatkan Messi selepas perlawanan itu ketika seorang peminat membaling botol ke arah pemain berjersi 10 tersebut.

Menurut perkongsian media di Amerika Syarikat, Messi dikawal oleh bekas tentera Amerika bernama Yassine Chueko yang telah bersara dan mahir dalam bidang seni bela diri seperti taekwando.

Pengawal tersebut ialah bekas tentera AS dan dikatakan dipilih secara peribadi oleh pemilik bersama Inter Miami, David Beckham bagi menjaga Messi serta keluarga sepanjang bergelar sebagai pemain kelab tersebut.

Selain pernah berkhidmat di Iraq dan Afghanistan, Chueko mahir dalam pelbagai seni mempertahankan diri dan kerap menyiarkan rakamannya berlatih di akaun Instagramnya, yang mana Messi dan Sergio Ramos adalah antara 113,000 pengikutnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram