INSIDEN kontroversi Aktor Terbaik Anugerah Academy, Will Smith yang menampar pelawak terkenal, Chris Rock ketika majlis siaran langsung anugerah berkenaan pada malam Ahad bukan saja menarik perhatian dunia, malah netizen dari Malaysia.
Sedar atau tidak, rata-rata warganet tempatan mula 'menyelongkar' semula video lama antara Will Smith bersama personaliti media sosial tempatan, Mohamad Sofian Abdullah atau lebih dikenali sebagai Sofyank di media sosial.
Ini kerana, Sofyank sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama mempromosikan filem pelakon antarabangsa itu, Gemini Man sekitar Oktober 2019.
KLIP video yang diedit Sofyank kembali 'dihujani' komen peminat tempatan. — Instagram/Will Smith
Kini selepas tiga tahun berlalu, komen-komen baharu netizen dilihat kembali 'menghiasi' media sosial berhubung filem berkenaan rentetan daripada kontroversi terbaharu Will Smith.
"Hai, saya dari masa depan..." tulis seorang netizen.
"It's that you bruhhhh @sofyank96 @willsmith," tulis seorang lagi netizen.
"Hands up...," tambah seorang lagi netizen.
ANTARA komen baharu netizen di video hasil suntingan Sofyank pada 2019. — Instagram/Will Smith
Ketika dihubungi portal Astro Gempak pada 2019, Sofyank memberitahu dia sangat teruja apabila diminta oleh Universal International Picture untuk bekerjasama dengan Will Smith mempromosikan filem berkenaan.
"Saya dijemput untuk bekerjasama dalam projek 'Content Creator With Will Smith' bertujuan mempromosikan filem Gemini Man.
"Sangat teruja kerana inilah kali pertama saya bertemu dengan pelakon Hollywood yang terkenal di seluruh dunia, apatah lagi dapat bekerjasama dengan beliau," kata Sofyank yang masih aktif menghasilkan suntingan video kreatif di Instagram termasuk parodi filem The Adam Project lakonan Ryan Reynolds dan Spiderman: No Way Home.
SOFYANK (kanan) turut terkena 'tempias' di sebalik kontroversi Will Smith di Anugerah Academy baru-baru ini. — Instagram/Sofyank96
Terdahulu, Will Smith pada Isnin memohon maaf secara rasmi kepada Chris Rock kerana menampar pelawak itu ketika majlis Anugerah Academy pada malam Ahad.
Menyifatkan tindakannya 'tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan', Will Smith mengaku bertindak mengikut emosi apabila gurauan pelawak itu melibatkan isterinya, Jada Pinkett Smith.
"Tidak mengapa bergurau tentang diri saya. Tetapi apabila gurauan tentang masalah dialami Jada, itu terlalu berat untuk saya tanggung dan saya bertindak balas secara emosi.
“Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada awak, Chris. Saya melampaui batas dan saya salah.
"Saya malu dan tindakan saya tidak menunjukkan ciri yang saya inginkan.
"Tidak ada tempat untuk keganasan dalam dunia yang penuh cinta dan kebaikan,” tulis Will Smith dalam catatan terbaharu di Instagram.
Pihak Anugerah Akademy selaku penganjur dalam pada itu memaklumkan pada Isnin bahawa ia mengecam tindakan Will Smith dan merancang untuk melancarkan siasatan rasmi di atas tindakannya.
Manakala Chris Rock turut dilaporkan menolak untuk mendakwa Will Smith atas kejadian berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram