SELAIN digunakan dalam masakan seperti membalikkan daging atau menyapu krim pada kek, spatula kini telah menjadi antara aksesori kecantikan yang mendapat perhatian warga TikTok.
Malah, ada antara pengguna yang dikatakan terus membuang berus dan span yang biasa digunakan demi alat tersebut.
Kaedah unik yang muncul dari Korea Selatan itu sudah mendapat lebih 300 juta tontonan di rangkaian media sosial China.
Adakah anda terkejut melihat peralatan dapur kini berada di bilik mandi? Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai petua kecantikan yang diilhamkan pengguna dan dikongsikan di media sosial.
Antara idea yang meletup dan mendapat perhatian ramai terutamanya dalam kalangan pempengaruh ialah peralatan memasak yang diinovasikan menjadi salah satu alat solek.
Kreativiti pengguna TikTok kini semakin berada di luar kotak pemikiran, apabila mereka mula memperkenalkan idea untuk mengubah peralatan asas memasak di dapur menjadi alatan penting dalam industri kecantikan.
Garfu misalnya, yang sebelum ini hanya digunakan ketika menjamu selera, kini berfungsi untuk memudahkan proses mengaplikasi kontur dan celak.
Fenomena terbaharu yang tular sejak beberapa minggu kebelakangan ini, iaitu teknik penggunaan spatula bagi meratakan bedak asas atau foundation digunakan untuk mendapatkan hasil solekan yang lebih semula jadi dan sempurna.
Inspirasi K-beauty
Tetapi jangan takut, walaupun namanya spatula, tidak semestinya anda harus mengambil spatula dari dapur rumah, sebaliknya ia memang dicipta khas untuk solekan.
Malah, saiznya yang lebih kecil dilihat lebih sesuai untuk digunakan dalam rutin harian anda, selain mudah dibawa ke mana-mana sahaja.
Di TikTok, video yang dimuat naik dengan tanda pagar #spatula sudah memiliki lebih 300 juta tontonan, sementara #koreanspatula pula sudah mempunyai hampir sembilan juta tontonan, mencerminkan kegilaan terhadap teknik kecantikan ini.
Selain menyebabkan kulit kelihatan halus dan mulus, penggunaan alat itu juga membantu pengguna memperoleh kulit yang lebih licin sempurna dengan kesan semula jadi.
Dalam erti kata lain, ia mampu menawarkan hasil 'kulit kaca' yang sempurna dan solekan lebih minimalis buat para wanita, sesuai dengan zaman.
Penggunaan spatula membantu wanita memperoleh kulit yang lebih licin sempurna dengan kesan semula jadi. — Agensi
Selamat tinggal bakteria !
Pastinya persoalan tentang kebersihan akan menjadi kebimbangan para pengguna.
Jangan khuatir kerana tidak seperti span, berus atau tangan yang boleh menjadi tempat pembiakan bakteria sekiranya tidak dibersih dengan cara yang betul, spatula sebenarnya lebih bersih dan terhindar daripada bakteria. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram