[VIDEO] Roket angkasa lepas Jepun, Epsilon S meletup ketika sesi ujian


  • Benua
  • Jumaat, 14 Jul 2023

Tangkap layar video siaran langsung memaparkan insiden letupan yang berlaku terhadap roket Epsilon S ketika melakukan enjin.

SEBUAH roket milik Jepun meletup ketika melakukan sesi ujian enjin dengan kejadian tersebut turut dirakam menerusi video yang disiarkan secara langsung.

Seorang pegawai di Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Jepun memaklumkan, kejadian melibatkan roket Epsilon S itu berlaku di tapak ujian Noshiro yang terletak di utara negara tersebut.

Menurutnya, roket itu meletup dan terbakar kira-kira 1 minit ketika ia memasuki tahap kedua ujian penyalaan enjin.

Rakaman menunjukkan api dilihat keluar dari bahagian tepi tempat ujian tersebut sebelum bangunan kecil itu meletup dan menyebabkan terhasilnya asap tebal yang tinggi.

Screenshot 2023-07-14 125514

Roket Epsilon keenam juga gagal dalam proses pelepasam pada Oktober 2022. — Agensi

Agensi berita Kyodo Jepun yang memetik agensi angkasa lepas negara itu memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan di tapak ujian.

Program angkasa lepas Jepun mengalami beberapa kesukaran baru-baru ini, termasuk melibatkan kegagalan roket tujahan sederhananya ketika melakukan penerbangan sulung pada Mac lalu, apabila enjin peringkat kedua tidak menyala seperti dirancang.

Satu lagi pelancaran dibatalkan sebulan sebelumnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram