[VIDEO] 'Badan you gemuk, botak dan badak sumbu', Inspektor Sheila mengaku tidak bersalah ugut, aibkan pegawai polis


Sheila (kiri) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan ugutan dan mengaibkan di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Selayang, Selangor pada Isnin.

SEORANG pegawai polis, Inspektor Sheila Sharon mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan ugutan dan mengaibkan masing-masing mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Selayang, Selangor pada Isnin.

Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengugut, mengaibkan dan memalukan seorang pegawai polis.

Jika sabit kesalahan, tuduhan ugutan boleh membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, sementara bagi kesalahan mengaibkan pula memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Sheila Sharon Steven Kumar, 35, membuat pengakuan tidak bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni dan Majistret Chai Guan Hock.

Di hadapan Majistret Nur Hafizah, wanita itu didakwa menyebut berkenaan pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud untuk mengaibkan kehormatannya di No 8, Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak di sini, pada pukul 1.25 petang, 15 Jun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan, jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun peguam, M. Manoharan yang mewakili Sheila memohon anak guamnya dikenakan jaminan bon atau jaminan paling rendah dengan alasan dia berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak tujuh tahun lepas dan tertuduh daripada keluarga yang baik.

"Ayah tertuduh hadir sebagai penjamin dan untuk makluman, ayahnya merupakan bekas pegawai polis yang telah berkhidmat di PDRM selama 39 tahun. Anak guam saya hanya mahu mendisiplinkan pengadu," kata Manoharan.

file7qt4s6wrs15fwp98a4e

Sheila (kanan) memakai t-shirt kelabu dan blazer hitam bersama peguamnya, M. Manoharan ketika di di Mahkamah Majistret Jenayah 1, Selayang, Selangor pada Isnin.

Di hadapan Majistret Chai, wanita itu didakwa mengugut M. Silverkoomarie, 69, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada wanita warga emas itu pada pukul 12 tengah hari di tempat dan tarikh sama, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai polis wanita itu juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki, P. Taneswaran, 31, dengan berkata "you tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu" di lokasi dan tarikh sama, pada 1 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 7 Ogos ini untuk sebutan semula kes. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram