PEGAWAI polis wanita dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' yang tular menerusi beberapa video memaparkan tindakannya memarahi anggota bawahan dijangka dihadapkan ke Mahkamah Selayang, Selangor pada Isnin
Menurut laporan Berita Harian, dia yang ditahan ditahan kerja sejak minggu lalu dijangka berdepan tiga pertuduhan dengan satu daripadanya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan) dan dua tuduhan berdasarkan Seksyen 509 kanun sama kerana perbuatan mengaibkan.
Pendakwaan tersebut difahamkan bakal dibuat di dua mahkamah majistret berasingan.
Jika sabit kesalahan, tuduhan ugutan boleh membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, sementara bagi kesalahan mengaibkan pula memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Perbuatan inspekor tersebut sebelum ini tular dalam tiga video berasingan sejak 16 Jun lalu dengan dua daripadanya menunjukkan perbuatannya menghina anggota berpangkat rendah sementara satu lagi kes pula membabitkan pertengkarannya bersama orang awam ketika sedang berada di kawasan parkir di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.
Susulan daripada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media Khamis lalu memaklumkan pegawai polis wanita itu sudah digantung tugas dan arahan itu berkuat kuasa sehingga proses siasatan ke atasnya selesai.
Menurut beliau, proses rakaman percakapannya sudah diambil pada 18 Jun lalu dan kedua-kedua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman pada 19 Jun lalu.
Tambahnya, sebanyak enam kertas siasatan tatatertib dibuka Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman berkaitan kes dihadapi pegawai wanita terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram