Mangsa buli berpotensi alami PTSD, tak lalu makan dan mimpi buruk antara simptom


  • Sihat
  • Selasa, 11 Jul 2023

Mangsa buli selalunya mengalami perubahan dari segi tingkah laku, kurang bersosial malah mengalami mimpi buruk ketika tidur. — Gambar hiasan

MANGSA buli berpotensi untuk berdepan gangguan stres pascatrauma (PTSD) selain kemurungan, kebimbangan dan serangan panik, kata Pakar Perunding Psikiatri Mahkota Medical Centre, Dr David Yeoh Boon Beng.

Beliau berkata, gangguan itu berlaku apabila mangsa mengalami masalah mental berikutan diperlakukan dengan buruk oleh pembuli yang mendorong perubahan sikap dan tingkah laku mangsa jika ia berlarutan dalam tempoh masa yang lama.

"Selalunya mangsa buli ini juga akan mengalami perubahan seperti tiada mood, tak lalu makan, kurang atau tidak bergaul dengan rakan sebaya malah mengalami mimpi buruk ketika sedang tidur.

"Tempoh perubahan sikap ini sukar untuk ditentukan kerana tiada ukuran yang jelas, namun ia selalu terjadi selepas beberapa minggu atau bulan seseorang itu dibuli," katanya.

Justeru, beliau berkata ibu bapa dan masyarakat sekeliling perlu mengambil cakna jika melihat sebarang perubahan tingkah laku seseorang individu dan menghulurkan sokongan bagi membantu memulihkan mangsa.

"Ibu bapa perlu berbincang dengan anak mereka jika tahu dia menjadi mangsa buli di sekolah. Perjumpaan dengan guru juga perlu dilakukan agar perkara berkenaan tidak berulang sehingga boleh menjejaskan kesihatan mental anak-anak.

"Mangsa juga perlu menjalani rawatan terapi dengan pakar perubatan sehingga dia sendiri dapat berdepan masalah dihadapinya," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dipercayai mencekik adik lelakinya berusia sembilan tahun sehingga mati dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Bukit Piatu, Melaka kira-kira 12.30 tengah hari.

Remaja berkenaan yang merupakan pelajar sebuah sekolah Arab di Alor Gajah itu dikatakan telah berubah sikap selepas menjadi mangsa buli di sekolahnya sejak tahun lepas.

Remaja itu direman selama tujuh hari bermula Khamis lepas hingga 12 Julai.

Polis kemudiannya membuka kertas siasatan dan memanggil dua pelajar lelaki berusia 16 tahun berhubung dakwaan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dibuli pelajar senior di sebuah sekolah Arab. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram