Tragedi Jeram Air Putih: Jasad terakhir belum ditemukan, hanya jumpa tanda nama 'Fatin'


  • 112
  • Selasa, 11 Jul 2023

Pencarian mangsa terakhir tragedi kepala air Jeram Air Putih menemui petunjuk baharu. — Bernama

POLIS menemui petunjuk baharu dipercayai mangsa terakhir tragedi kepala air Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu yang masih belum dijumpai sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supterintendan Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menemui beg sandang jenama Gregory berisi wang dan dokumen penting dipercayai milik Karim Abdullah, 39, tanda nama 'Fatin' dipercayai milik Putri Nor Fatin Karim, 14, iaitu satu-satunya mangsa yang masih hilang.

Selain itu, turut dijumpai ialah wang tunai sebanyak RM1,279, kad perkahwinan, jam tangan, telefon bimbit dan seutas kalung.

Menurut Hanyan, beg terbabit ditemui di tebing pasir pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian pada 12 tengah hari pada Isnin.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat satu beg duit di dalamnya jenama Michael Kors berwarna hitam yang mengandungi pelbagai dokumen peribadi dan barangan berharga milik mangsa, antaranya kad pengenalan dan MyKid (anak-anak) dan beberapa keping kad bank," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Hanyan memaklumkan beg berkenaan akan diserahkan kepada waris mangsa dalam masa terdekat.

Terdahulu, media melaporkan jenazah mangsa kesembilan tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman, Terengganu, Muhammad Fikri Saliman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, Johor pada Sabtu.

Manakala jenazah tujuh beranak mangsa tragedi sama juga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang, pada Rabu lalu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram