Nahas mat rempit Lekas: Gagal kawal motor punca seorang maut, 9 parah berlanggar sesama sendiri — Polis


  • 112
  • Selasa, 11 Jul 2023

Salah seorang daripada 10 penunggang motosikal maut akibat berlanggar sesama sendiri di Kilometer 26.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) arah Seremban pada Isnin. — Facebook

AKSI penunggang motosikal yang berlumba sambil melakukan adegan berbahaya mengundang padah apabila salah seorang daripada mereka maut akibat berlanggar sesama sendiri di Kilometer 26.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) arah Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin.

Manakala sembilan daripada 10 penunggang motosikal terbabit cedera dalam kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 11.30 malam itu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malek Hasim memaklumkan, hasil siasatan di lokasi terbabit mendapati kemalangan berlaku ketika kesemua penunggang bergerak dari arah Nilai menuju ke Seremban.

"Setibanya di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri.

"Seorang penunggang berumur 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala lima penunggang cedera parah dan empat yang lain cedera ringan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Abdul Malek berkata, kesemua mangsa lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menerima rawatan lanjut, manakala mangsa yang maut turut dibawa ke hospital sama bagi proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Zarina Ariffin di talian 013-8238336," katanya.

Majoriti pada Selasa melaporkan tentang kumpulan besar penunggang motosikal dikesan menunggang secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dalam satu kejadian dipercayai berlaku di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) pada Isnin.

Kejadian tersebut dirakam menerusi beberapa video tular di sosial media sejak Selasa. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram