[VIDEO] Misteri kereta tersadai tepi jalan sejak hujung minggu di Kampung Jalan Kebun, rupanya ada mayat dalam but


  • Tular
  • Rabu, 05 Jul 2023

Mayat dipercayai warga asing ditemui dalam bonet sebuah kereta di Jalan Kampung Lombong, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

PENDUDUK di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor digemparkan dengan penemuan satu mayat yang disembunyi dalam but sebuah kereta berhampiran Kampung Lombong, Shah Alam, Selangor pada Selasa.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh seorang pengguna Facebook dipercayai penduduk kawasan berkenaan yang mendakwa adik kepada mangsa membuat satu laporan polis setelah mendapati kereta dan pemandu terbabit dilaporkan hilang sejak Ahad.

Dakwanya, adik mangsa yang kebetulan mengetahui mangsa ada mengendalikan sebuah projek di kawasan tersebut membuat keputusan untuk mencarinya di lokasi sebelum menjumpai kereta dipercayai milik mangsa tersadai di bahu jalan.

"Adik mangsa membuka kereta yang berada dalam keadaan tidak berkunci, namun tidak menemui apa-apa.

"Tiba-tiba dia terhidu bau busuk di bahagian but kereta dan selepas ia dibuka, dia terkejut melihat bungkusan dipercayai mayat dibungkus dalam plastik hitam dan terus menghubungi orang sekeliling untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Menjengah ke ruangan komen, warganet dipercayai penduduk setempat mendakwa mangsa dipercayai seorang warga asing tinggal di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor keluar dari rumahnya untuk mendapatkan gaji daripada majikannya.

"Kereta tersebut telah berada di lokasi sejak dari pagi Isnin," kata Shah X Encem.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol memaklumkan, kejadian disedari oleh orang awam pada pukul 3.25 petang Selasa setelah tercium bau busuk daripada kereta jenis Honda City warna hitam yang telah ditinggalkan hingga tiga hari di lokasi terbabit.

Menurutnya, siasatan awal pihak polis mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 47 tahun, manakala hasil semakan kereta juga didaftarkan atas nama mangsa.

"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk post-mortem," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Selain itu, Ramsay berkata, polis turut menahan tiga lelaki dan seorang perempuan warganegara Indonesia lingkungan umur 40-an pada pukul 7 petang di lokasi terbabit bagi membantu siasatan.

Katanya, kesemua suspek direman bermula Rabu hingga Isnin depan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-2666025. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram