TULAR kisah seorang seorang pekerja di sebuah pasar raya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur menemui sebuah beg yang mengandungi wang tunai sebanyak RM18,000 dan dokumen peribadi lain di dalam troli di tempat letak kenderaan terbuka.
Menurut satu hantaran di Facebook AEON Delight Malaysia baru-baru ini, pekerja bernama Ram Akawal Mandal bertindak menyerahkan beg dan dokumen tersebut ke kaunter khidmat pelanggan pasar raya tersebut.
"Ia selamat dikembalikan kepada pemilik asal beg tersebut setelah seorang wanita datang untuk mengakuinya dan menuntut begnya yang tertinggal di dalam troli.
"Wanita tersebut juga menyatakan bahawa jumlah wang di dalam beg itu tidak berkurangan," katanya dalam hantaran tersebut.
Ram Akawal Mandal menerima pujian kerana jujur memulangkan beg berisi wang kepada pemiliknya. — Facebook/ AEON Delight Malaysia
Ekoran tindakan pekerja tersebut, pihak pasar raya dalam hantaran sama memaklumkan pelanggan tersebut meminta agar syarikat memberikan penghargaan kepada lelaki berkenaan yang dianggap sebagai staf yang jujur dan amanah.
"Tahniah kepada Ram Akawal Mandal! Kami juga merasa bangga dengan sikap integriti anda," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memuji tindakan pekerja tersebut kerana berlaku jujur dan memulangkan beg tersebut kepada pemiliknya.
"Terbaik, teruskan tunjuk kejujuran dan kerja yang bagus," kata Md Imran Ajmain.
"Kami bangga (dengan tindakan anda), teruskan kerja yang baik,"kata Md Parbaj Hossain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram