Luqman Podolski mahu hasilkan lebih banyak lagu ‘healing’, idam kolaborasi dengan 2 nama besar


  • Hiburan
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Luqman (kiri) mahu lagu dihasilkannya menyentuh mengenai subjek yang dekat dengan orang ramai.

PENYANYI sedang meningkat naik, Luqman Podolski berkongsi hasratnya untuk mengadakan kolaborasi bersama dua artis hip hop terkenal iaitu SonaOne dan Alyph.

Luqman atau nama sebenarnya Luqmanul Hakim Kamaruddin, 24, berkata, dia kini sedang dalam proses mengeluarkan lebih banyak lagu dan turut memiliki beberapa senarai artis yang akan bekerjasama dengannya untuk tujuan tersebut.

Malah, dia yang terkenal dengan lagu berjudul ‘RING RING’ tidak menolak kemungkinan untuk menghadiahkan album baharu buat peminat selain akan meneruskan konsep lagu ‘healing’ yang menjadi rencah utama dalam beberapa karya sebelum ini.

“Jadi saya mungkin akan ikut konsep sebelum ini iaitu macam lagu healing dan slow (berentak perlahan). Sebab lagu macam itu orang lagi suka, jadi mungkin saya teruskan dengan direction muzik yang macam itu,” katanya kepada Majoriti.

Luqman tidak menolak kemungkinan bahawa dia akan mengeluarkan album baharu. — Warner Music Malaysia

Luqman kini sedang dalam rangka mempromosikan single terbaharunya berjudul 'Mungkin Aku Tak Penting?' yang mula dikeluarkan sejak Mac lalu.

Lagu yang diterbitkan Black Hat Records dan Warner Music Malaysia itu merupakan duet pertamanya bersama penyanyi pendatang baharu kelahiran Singapura, Tish Errda.

Dalam pada itu, Luqman berkata, beberapa lagu yang bakal dihasilkannya nanti diharap mampu untuk menyentuh subjek yang mudah untuk dikaitkan dengan orang ramai.

“Tujuan utama saya untuk orang boleh rasa ia ada kaitan dengan mereka. Apa yang saya rasa, saya harap mereka pun boleh ‘relate’. Bukan peminat saya sahaja, tapi juga termasuk mereka yang tak pernah dengar lagu saya,” ujarnya.

‘Nak jadi content creator boleh, tapi pendidikan pun penting’

Sebelum bergelar penyanyi, Luqman terlebih dahulu terkenal sebagai penghasil kandungan komedi berbentuk parodi di sosial media yang mendapat perhatian rakyat Malaysia.

Malah boleh dikatakan bahawa dia yang mula melakukan perkara itu sejak berusia 16 tahun pada 2014 itu merupakan antara pempengaruh media sosial atau influencer terawal di Malaysia.

Mengulas mengenai trend anak muda tidak menyambung pendidikan di peringkat pengajian tinggi selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana memilih menjadi influencer, Luqman berkata, dia secara peribadi tidak menyokong pemikiran sedemikian.

Luqman merupakan antara 'influencer' pencipta kandungan terawal di Malaysia yang lahir daripada media sosial. — Warner Music Malaysia

“Sejujurnya saya pun taklah tinggi sangat belajar. Saya sampai SPM juga. Tapi bagi saya kalau boleh teruskan belajar. Kalau tak suka pun belajar pun, kena cuba, sekurang-kurangnya kita ada sijil. Pendidikan itu penting tak kisah kita minat apa benda pun.

“Nak buat content tu boleh, tapi kalau boleh buat sambil-sambil. Jadi contohnya, kalau satu hari nanti orang dah tak nak tengok, kurang-kurang kita ada ada back up pendidikan,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram