TAMPIL dengan lagu baharu berjudul Sape Kata, SonaOne enggan mendedahkan sama ada karya tersebut adalah berkisarkan kisah cintanya atau tidak.
SonaOne enggan menjelaskan secara terperinci sebaliknya membiarkan perkara itu untuk dirungkaikan mengikut tafsiran pendengar.
"Jawapan kepada soalan apakah ia cetusan ilham kisah cinta sendiri, boleh jadi ya atau sebaliknya.
"Ia terpulang kepada apa juga interpretasi atau tafsiran masing masing. Namun ia jelas bersifat peribadi.
"Tapi tak dinafikan ada input dan ilham itu datang daripada pengalaman sendiri.
"Namun saya melihat lagu ini daripada cerita umum atau adat berkasih sayang yang akan berlaku salah faham dan jiwa kacau.
"Ia juga berdasarkan pengamatan saya mengenai pelbagai cerita dialami ketika Covid-19 menjelma.
"Ramai teman saya sendiri putus cinta daripada hubungan yang panjang kerana kekurangan sisi komunikasi," katanya yang kali terakhir muncul dengan single solo Bomba tahun lalu.
Dalam pada itu, SonaOne sebelum ini pernah dikatakan bakal berkahwin tidak lama lagi.
Malah, dia pernah mengeluarkan kenyataan akan mengumumkan perancangan berkahwin dengan gadis yang masih rahsia lagi identitinya.
"Saya anggap tak ada jodoh dengannya. Tak semua yang kita dambakan akan berakhir seperti sebuah kisah dongeng," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram