Shuib, Watie kini sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz


  • Hiburan
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Shuib (kiri) dan Watie selamat diijabkabulkan dengan sekali lafaz di Putra Glass House, Shah Alam pada Jumaat.  — Facebook

DENGAN sekali lafaz, pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib disatukan dengan Watie atau Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, sebagai pasangan suami isteri pada Jumaat.

Akad nikah kedua-dua mempelai tersebut disempurnakan pada pukul 8.47 malam di Putra Glass House, Shah Alam, Selangor dengan pasangan tersebut dinikahkan oleh abang kandung Watie, Qadhaffi Hanifiah.

Majlis disaksikan oleh Penolong Pendaftar Pernikahan Masjid Hidayatul Muttaqin, Kampung Bukit Lanchong iaitu Zubairi Ghazali.

Shuib atau nama sebenarnya Shamira Muhammad menyerahkan mas kahwin sebanyak RM8,288, namun jumlah wang hantaran pula dirahsiakan.

Majlis penyatuan dua jiwa itu berlangsung serba mewah yang mendapat tajaan bernilai RM1.7 juta termasuk set barang kemas selain turut menyaksikan pihak pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran dan dibalas tujuh oleh pihak pengantin perempuan.

Terdahulu, Shuib dan Watie bertunang pada 6 Mei lalu di Shah Alam dalam satu majlis tertutup yang hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.

Perkahwinan tersebut adalah kali kedua buat Shuib selepas pemergian arwah isterinya, iaitu penyanyi Siti Sarah Raisuddin yang meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19.

Daripada hasil perkahwinan tersebut, Shuib dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11; Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram