Harga beras putih import masih normal, tapi bukan dikawal kerajaan — Mohamad Sabu


  • Primer
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Terdapat dakwaan mengatakan bahawa kenaikan harga beras bakal berlaku pada Julai depan akibat kekurangan bekalan kesan daripada El Nino. — Gambar hiasan

KEBANYAKAN harga pasaran beras putih import di peringkat runcit masih berada di paras RM32 dan ke bawah bagi setiap beg 10 kilogram.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga beras berkenaan masih normal bagi gred beras putih import, dan ia bergantung kepada permintaan terhadap beras import.

"Beras putih import adalah beras yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan," katanya mengulas tentang kenyataan daripada Pengarah Urusan Pasar Raya Besar Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkenaan dakwaan berlakunya peningkatan harga barangan tersebut pada Jumaat.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, KPKM mengambil tindakan segera bagi memastikan harga pasaran beras tempatan dalam negara sentiasa stabil dan terkawal dengan mengeluarkan surat arahan bertarikh 16 Jun lalu berhubung penetapan harga kawalan maksimum jualan beras tempatan di peringkat kilang dan borong.

Katanya, semua pemegang Lesen Kilang Padi Komersil dan Lesen Borong Beras adalah dikehendaki mematuhi harga kawalan maksimum yang ditetapkan berkuat kuasa pada tarikh tersebut.

"Pada masa ini, harga pasaran beras dalam negara adalah stabil memandangkan harga jualan bagi 70 peratus bekalan beras tempatan dalam negara adalah dikawal oleh kerajaan.

"Pemantauan berterusan menerusi insiatif Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) juga dijalankan di peringkat runcit dan borong di seluruh negara bagi memastikan harga dan bekalan beras sentiasa stabil di pasaran negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan, pihaknya masih belum membuat keputusan tentang harga beras walaupun terdapat laporan media pada Jumaat mendakwa kenaikan harga beras bakal berlaku pada Julai depan akibat kekurangan bekalan kesan daripada El Nino.

Bagaimanapun katanya, pihaknya bersedia menghadapi sebarang kesan akibat cuaca panas itu termasuk melibatkan harga beras. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram