MASYARAKAT di Arab Saudi yang sebelum ini tidak meraikan Hari Kekasih dilihat sudah mula menerima budaya Barat itu secara perlahan-lahan apabila dikatakan terikut-ikut budaya Barat itu.
Laporan AFP menyebut, penjualan pakaian dalam berwarna merah di negara tersebut meningkat menjelang Hari Valentine yang disambut setiap 14 Februari.
Begitupun, laporan berita yang dipetik CNN Indonesia itu memaklumkan, tiada perkataan 'Valentine' dipamerkan di mana-mana kedai jualan.
"Pihak pengurusan telah meminta kami menghiasi ruang tingkap pameran dengan pakaian dalam merah, tetapi tanpa sebarang kaitan dengan Hari Valentine di mana-mana sahaja," kata seorang jurujual di salah sebuah pusat beli-belah di Riyadh, yang enggan namanya didedahkan.
Secara tradisi, Arab Saudi sebagai negara Islam sememangnya tidak merayakan Hari Valentine. Namun, kebelakangan ini, sebahagian masyarakat mula merayakannya.
"Ada banyak permintaan pakaian dalam tempoh menjelang Hari kekasih dan para pelanggan bertanya jika ada pakaian berwarna merah," kata salah seorang penjual, Khuloud.
Penjual wanita itu juga mengatakan pakaian dalam berwarna merah menjadi baju yang paling banyak dicari sepanjang tempoh tersebut.
"Kedai-kedai lain juga menawarkan diskaun untuk produk wangian dan alat solek," katanya.
Salah seorang pembeli, Reem Al-Qahtani berkata, masyarakat Arab Saudi perlahan-lahan menerima Hari Valentine, meskipun tidak secara eksplisit.
"Mereka hanya merayakannya, tanpa menyebut hari itu sebagai Hari Valentine. Saat ini, kami merayakannya secara diam-diam di kafe dan restoran," katanya.
Sebelum ini, Arab Saudi cukup tegas menentang perayaan Hari Valentine bahkan penjualan barangan kelengkapan Hari Valentine adalah dilarang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram